Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: Calon Bersatu dari semua sayap parti - Peja
Diterbitkan:  May 27, 2023 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan calon yang bertanding di enam negeri terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini dipilih daripada semua sayap parti itu.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pemilihan itu merangkumi calon daripada Angkatan Muda Bersatu Malaysia (Armada) dan sayap wanita parti itu, Srikandi.

"Namun kita belum tetapkan peratusan tertentu untuk pemilihan (calon) itu.

"Apa yang penting, kita mahu pastikan calon yang dipilih berkualiti….

"Apabila kita tubuh kerajaan, mereka akan memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sembang Santai Pesanan Menuju PRN Kelantan di Kota Bharu hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata Bersatu mungkin mengetengahkan muka baharu selain calon berpengalaman dan pernah berkhidmat dalam kerajaan.

Katanya Bersatu ketika ini dalam proses memuktamad keseluruhan pembahagian kerusi rakan komponen Perikatan Nasional sebelum mengumumkan calon yang mewakili parti itu dalam PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS