Keputusan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland berhubung penggunaan kalimah Allah boleh dikatakan topik hangat pada masa ini.
Kenyataan demi kenyataan oleh perdana menteri, menteri dalam negeri dan pihak-pihak lain mencetuskan kekeliruan berhubung perkara ini dan mencetuskan reaksi daripada orang Islam dan juga bukan Islam.
Namun, cara kerajaan Madani mengendalikan perkara ini, dan kesan yang dibawanya, hanyalah satu lagi ketidakcekapan birokrasi yang bermula sejak dekad 1980-an ketika pentadbiran diketuai Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, beberapa kes bertindih di mahkamah yang difailkan penganut Kristian untuk menggunakan kalimah itu sejak 15 tahun lalu turut menambah kekeliruan berhubung keputusan kehakiman dalam hal ini.
Panduankini kali ini meneliti fakta-fakta berkaitan bagi menjernihkan kekeliruan ini.
Tentang kes Jill Ireland
Jill Ireland adalah seorang Melanau Kristian di Sarawak yang memiliki lapan cakera padat (CD) yang mengandungi kalimah Allah. CD miliknya ini dirampas oleh kastam ketika dia pulang ke Malaysia dari Indonesia pada 11 Mei 2008.
Ogos tahun itu, Ireland memfailkan tindakan undang-undang untuk menuntut CD tersebut dipulangkan serta pengisytiharan mahkamah berhubung hak perlembagaannya terhadap kesamarataan di sisi undang-undang dan kebebasan beragama, termasuk hak untuk menggunakan kalimah Allah.
Maka bermulalah kes mahkamah yang berterusan lebih satu dekad.
Keputusan terbaru adalah yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin pada Mac 2021 yang berpihak kepada Ireland.
Kes ini sekali lagi menjadi perhatian apabila kerajaan pada 18 April lalu menarik balik rayuan terhadap keputusan tersebut.
Jadi kes ini berkenaan usaha mendapatkan balik CD dengan kalimah Allah, atau hak seorang penganut Kristian untuk menggunakan kalimah itu?
Secara ringkasnya, kes ini tentang kedua-duanya.
Namun, pengisytiharan mahkamah yang dituntutnya, di bawah Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 11 (kebebasan beragama), bukanlah perkara yang jelas dan mudah.
Ketika dia memulakan tindakan undang-undangnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dia menuntut tujuh pengisytiharan dan dua daripadanya berkenaan hak menggunakan kalimah Allah dan memiliki bahan yang mengandungi kalimah itu.
Namun, sementara Mahkamah Tinggi pada 2014 memerintahkan CD tersebut dipulangkan, ia tidak membuat keputusan berkenaan tuntutan pengisytiharan berkenaan hak perlembagaannya.
Ireland membuat rayuan berhubung is keperlembagaan di Mahkamah Rayuan, manakala kerajaan membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tindakan merampas CD tersebut adalah salah.
Apa keputusan Mahkamah Rayuan?
Pada 2015, Mahkamah Rayuan memutuskan lapan CD itu perlu dipulangkan kepada Ireland dan mengarahkan Mahkamah Tinggi untuk sekali lagi mendengar kes itu, berkenaan dua daripada tujuh pengisytiharan yang dituntut.
Ia berkaitan jika Ireland ada hak keperlembagaan untuk mengimport CD tersebut bagi tujuan pendidikan dan amalan agama, dan jika Perlembagaan Persekutuan melindunginya daripada diskriminasi undang-undang.
Dua pengisytiharan khusus berkenaan haknya untuk menggunakan kalimah Allah tidak termasuk dalam pendengaran semula di Mahkamah Tinggi.
Tengku Maimun Tuan Mat, yang kini menjadi ketua hakim negara, mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes itu.
Lapan CD itu dipulangkan semula kepada Ireland pada September 2015.
Apa yang berlaku ketika pendengaran semula di Mahkamah Tinggi pada 2017?
Mahkamah Tinggi mengendalikan dua pengisytiharan yang dituntut - bahawa hak keperlembagaan Ireland untuk mengamalkan agamanya telah dicabuli dan penggunaan undang-undang persekutuan untuk merampas CD miliknya melanggar hak kesamarataan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang yang terlibat adalah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) dan Akta Kastam 1967.
Semasa pendengaran semula, pasukan peguam Ireland mendapati masalah asas adalah arahan Kementerian Dalam Negeri bertarikh 5 Disember 1986 yang melarang sama-sekali penggunaan kalimah 'Allah', 'Kaabah', 'Baitullah' dan 'Solat' oleh orang bukan Islam.
Justeru, dia menuntut satu lagi pengisytiharan iaitu arahan itu tidak selaras dengan undang-undang dan bertentangan dengan hak keperlembagaannya untuk kebebasan beragama.
Walaupun pendengaran semula bermula pada 2017, disebabkan beberapa percubaan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah, keputusan yang dibuat pada 10 Mac 2021.
Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri - yang dibuat mengikut PPPA dan digunakan untuk merampas CD Ireland - tiada asas statutori dan maka menyalahi undang-undang dan tidak rasional.
Nor Bee berkata arahan Disember 1986 melangkaui niat kabinet, dalam satu memorandum berkenaan perkara itu yang bertarikh 16 Mei 1986.
Berkenaan pendirian kabinet dan arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 dan bagaimana ia menjadi faktor penentu kes
Pada 19 Mei 1986, Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu menegaskan dia menugaskan timbalannya, Ghafar Baba untuk menentukan apa perkataan yang boleh dan tidak boleh digunakan dalam agama Kristian. Surat itu diserahkan kepada mahkamah ketika perbicaraan kes Jill Ireland.
Turut dilampirkan adalah nota daripada Ghafar bertarikh 16 Mei 1986 berkenaan perkataan Islamik dalam Alkitab yang tidak boleh digunakan.
AlKitab merujuk kepada kitab Bible yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Indonesia.
Nota itu menyenaraikan 12 perkataan yang boleh dipakai dan empat yang dilarang, iaitu ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’.
Namun, di bawah empat perkataan yang dilarang itu, tertera: Dengan syarat di kulit luar (muka depan) buku-buku itu ditulis perkataan 'Untuk Ugama Kristian'".
Tujuh bulan kemudian, pada 5 Disember 1986, satu arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, berkenaan senarai 12 perkataan yang boleh digunakan dan empat perkataan yang dilarang tersebut - namun kali ini untuk semua penerbitan agama Kristian, bukan untuk AlKitab sahaja.
Selain itu, syarat yang ditetapkan Ghafar bahawa muka depan buku ditulis 'Untuk Ugama Kristian' diletakkan di bawah senarai 12 perkataan yang boleh digunakan, bukan di bawah empat perkataan yang dilarang - seperti nota yang dibuatnya.
Nor Bee memutuskan ia menunjukkan percanggahan antara arahan kementerian dan apa yang diputuskan dalam nota Ghafar.
Katanya, nota itu jelas menyatakan 12 perkataan tersebut boleh digunakan tanpa syarat manakala empat perkataan itu boleh digunakan hanya jika muka depan penerbitan ditulis 'Untuk Ugama Kristian'.
Pada masa sama, Nor Bee berkata kabinet tidak mungkin berhasrat untuk mengenakan larangan secara keseluruhan terhadap empat perkara itu kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan yang diwartakan empat tahun sebelumnya, iaitu pada 22 Mac 1982.
Arahan pada 1982 - yang dibuat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - membenarkan AlKitab yang menggunakan kalimah 'Allah' untuk digunakan dalam ruang lingkup gereja Kristian di seluruh negara.
Jika kabinet mahu melarang penggunaan empat perkataan itu dalam penerbitan Kristian, pastinya arahan 1982 dimansuhkan terlebih dahulu namun ia tidak dilakukan, kata Nor Bee.
Justeru, dia memutuskan arahan itu tidak sah dan melanggar undang-undang.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata percanggahan yang dibangkitkan hakim ini menjadi sebab kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland.
Jadi adakah hakim kata penganut Kristian boleh guna kalimah Allah?
Hal ini rumit.
Walaupun tuntutan Ireland khusus berkenaan haknya untuk menggunakan kalimah itu, ia tidak termasuk dalam dua tuntutan yang diarahkan Mahkamah Rayuan agar didengar semula di Mahkamah Tinggi.
Ini bermakna hal ini tidak pernah dihakimi dan tiada keputusan yang khusus berkenaannya.
Keputusan mahkamah hanya berkenaan jika rampasan CD melanggar hak keperlembagaan Ireland untuk mengamalkan agamanya tanpa diskriminasi.
Dalam berbuat demikian, hakim Nor Bee membuat keputusan berhubung kesahan arahan untuk merampas CD - iaitu larangan terhadap penggunaan empat perkataan dalam penerbitan agama Kristian.
Ini bermakna dia tidak membuat keputusan berkenaan hak penganut Kristian untuk menggunakan kalimah 'Allah' secara umumnya, tetapi sama ada penerbitan agama Kristian boleh menggunakan kalimah itu dan penganutnya boleh memiliki bahan tersebut atau tidak.
Namun, Nor Bee maklum bahawa Bahasa Melayu menjadi lingua franca untuk masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak dan penganut Kristian di dua negeri itu telah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk Tuhan sejak sekian lama.
"Bukti sejarah yang tidak dapat disangkal bahawa penggunaan kalimah Allah oleh pemohon (Ireland) dan komuniti Kristian di Sarawak selama 400 tahun, sejak 1629, tidak boleh diabaikan," katanya.
Dia memutuskan fakta itu juga menyangkal hujah kerajaan bahawa arahan itu perlu untuk menjaga ketenteraman awam.
Jadi, apa keputusan Mahkamah Persekutuan yang didakwa kerajaan membatalkan keputusan Nor Bee?
Dalam menangkis kritikan terhadap keputusan untuk menarik balik rayuan, kerajaan beberapa kali merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014 yang menurutnya masih berkuat kuasa.
Walaupun kerajaan tidak menyatakannya secara spesifik, ia kemungkinan besar merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan penerbitan Katolik, The Herald untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan mereka menggunakan kalimah 'Allah'.
Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan - dalam keputusan 4-3 - mendapati Mahkamah Rayuan antara lain telah membuat ujian objektif untuk mencapai keputusan itu.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat panel hakim Mahkamah Rayuan bahawa aspek teologi hanyalah "obiter" - iaitu kenyataan sampingan yang tidak mengikat mahkamah.
Ia dipercayai berkenaan pandangan hakim Mahkamah Rayuan bahawa kalimah Allah bukanlah sesuatu yang 'integral' (teras) dalam agama Kristian.
Baca: CJ: 'Allah' ban not based on theological issues
Pendirian kerajaan pada masa itu adalah keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah hanya untuk The Herald dan tidak melibatkan penganut Kristian di Malaysia secara keseluruhan.
Namun, keputusan Mahkamah Rayuan tetap memberi kesan kepada kes serupa yang difailkan Sidang Injil Borneo (SIB).
Tentang kes SIB
Seperti Jill Ireland, kes SIB bermula selepas Kementerian Dalam Negeri merampas buku agama Kristian yang mengandungi kalimah 'Allah' pada 2007.
SIB menang perbicaraan dan buku mereka dipulangkan pada 2008 namun pertubuhan ini tetap menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa mereka ada hak untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan dan untuk tujuan pendidikan.
Namun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2014 menolak permohonan mereka dan berkata ia terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes The Herald.
Pada bulan lalu, SIB menamatkan tindakan undang-undang mereka selama 14 tahun demi "kepentingan keharmonian negara".
Jadi keputusan mana jadi duluan berkenaan penggunaan kalimah 'Allah'?
Para peguam berpandangan kes Jill Ireland menjadi duluan berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian bagi tujuan agama dan pendidikan.
Ini kerana keputusan dalam kes The Herald perlu dianggap spesifik kepada penerbitan Katolik tersebut, seperti mana pendirian pentadbiran Najib Razak pada masa itu.
Pada 2013, beberapa menteri - termasuk menteri dalam negeri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi - juga mengambil pendirian yang keputusan Mahkamah Rahuan berkenaan kes The Herald tidak terpakai ke atas AlKitab yang terus menggunakan kalimah 'Allah'.
Ia konsisten dengan arahan kerajaan pada 1982, yang dirujuk hakim Nor Bee dalam kes Jill Ireland.
Adakah larangan ini ada asas dari sisi agama Islam?
Penggunaan kalimah ini, iaitu perkataan Bahasa Arab bagi 'Tuhan' oleh orang bukan Islam adalah amalan biasa dalam kalangan penganut Kristian dan Yahudi di negara-negara Arab.
Ini dinyatakan dalam rencana Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin pada 2021 di mana dia berhujah yang Islam dan Quran tidak melarang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah 'Allah' - memandangkan ia merupakan nama Tuhan.
Sebaliknya, Mohd Asri berkata apa yang dilarang adalah penyalahgunaan kalimah tersebut, seperti menggunakannya ke atas berhala, patung atau manusia.
Anwar kata keputusan hanya terpakai di Sarawak. Adakah ia benar?
Dalam usaha untuk meredakan rasa tidak puas hati ekoran keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan mahkamah itu hanya terpakai di Sarawak.
Namun pendirian itu dilihat tanpa asas yang kukuh, dengan bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin dan beberapa lagi berkata keputusan hakim Nor Bee bukan tertakluk kepada Sarawak sahaja.
Ada juga yang membangkitkan keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sama seperti selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014, menteri di jabatan perdana menteri ketika itu, Idris Jala berkata pendirian kabinet bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' juga terpakai kepada salinan AlKitab di Semenanjung Malaysia.
Idris merupakan arkitek penyelesaian 10 perkara yang dirangka pentadbiran Najib yang membenarkan kitab Injil bahasa Melayu dicetak.
Baca: Injil bahasa Melayu boleh dicetak di negara ini
Namun bagaimana dengan undang-undang syariah negeri yang melarang orang bukan Islam guna kalimah itu?
Secara teori, Perlembagaan Persekutuan menyatakan apabila berlaku pertembungan antara undang-undang persekutuan dan negeri, undang-undang persekutuan yang terpakai.
Namun, selain peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama, tiada akta atau perkara khusus dalam Perlembagaan Persekutuan berkenaan penggunaan kalimah 'Allah' oleh orang bukan Islam.
Berbeza dengan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, misalnya Selangor, yang ada enakmen bagi melarang perkara itu.
Baca: MB: Orang bukan Islam di Selangor masih dilarang guna kalimah Allah
Ia menyebabkan keadaan seperti rampasan kitab Injil bahasa Melayu oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais), walaupun dengan penyelesaian 10 perkara oleh kerajaan persekutuan yang membenarkan penganut Kristian di Semenanjung untuk menggunakan AlKitab.
Percanggahan ini masih tidak diselesaikan.
Satu negeri di Semenanjung yang tidak melarang penggunaan itu adalah Perlis.
Jadi, apa seterusnya?
Pentadbiran Anwar berkata ia merancang untuk meminda undang-undang yang membenarkan percanggahan berhubung isu ini agar ia tidak lagi boleh dicabar di mahkamah.
Kerajaan juga merancang untuk membataskan penggunaan kalimah itu dalam kalangan orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak sahaja.
Belum jelas bagaimana ia akan memberi kesan kepada penggunaan AlKitab dan pengamalan agama oleh penganut Kristian berbahasa Melayu dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung.