Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Henti guna ketidakstabilan politik alasan prestasi buruk Sukan SEA'
Diterbitkan:  May 25, 2023 8:45 PM
Dikemaskini: 3:16 PM

Bekas menteri belia dan sukan Ahmad Faizal Azumu menggesa penggantinya, Hannah Yeoh agar berhenti menjadikan "ketidakstabilan politik" sebagai punca prestasi buruk Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Ahmad Faizal merujuk kenyataan Yeoh bahawa sejumlah 220 atlet negara tidak dapat meneruskan latihan berikutan tiada peruntukan khusus untuk program latihan senior di bawah Program Podium 2022 dalam belanjawan tahun sebelumnya ekoran pertukaran kerajaan.

"Saya menyanggah kenyataan tersebut...Belanjawan 2022 dibentangkan sejurus selepas saya dilantik sebagai menteri belia dan sukan. Ketika itu, tiada sebarang dana diperuntukkan untuk program Podium.

"Malah butiran program itu tidak disebut dalam Belanjawan 2022 (dibentangkan pada Oktober 2021). Namun, ia dikembalikan semula pada awal 2022," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dia berkata ia selepas Kementerian Belia dan Sukan membentangkan kertas kabinet untuk memohon peruntukan bagi program itu.

Susulan itu, katanya lagi, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM240 juta untuk tempoh 2022 hingga 2025.

"Saya tak setuju ketidakstabilan politik dijadikan alasan. Saya harap menteri berhenti menggunakan alasan sama pada setiap masa," katanya lagi.

Malaysia hanya mendapat tempat ketujuh dalam Sukan SEA yang berakhir minggu lalu dengan meraih 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa.

Ia merupakan pencapaian terburuk negara dalam acara dwitahunan itu sejak 1959. Negara juga gagal mencapai sasaran 40 emas, 37 perak dan 64 gangsa.

Vietnam sekali lagi menjadi juara keseluruhan dengan 136 emas, 105 perak dan 118 gangsa, manakala tuan rumah Kemboja mencatat prestasi terbaiknya di tangga keempat dengan 81 emas, 74 perak dan 127 gangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS