Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan rayuan k'jaan kembalikan pengharaman buku 'Gay Is Ok!' 25 Sept

Mahkamah Rayuan menetapkan 25 September untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan kerajaan untuk mengembalikan semula perintah pengharaman terhadap buku ‘Gay is OK! A Christian Perspective’.

Peguam yang mewakili penulis buku berkenaan, Micheal Cheah mengesahkan keputusan mahkamah itu akan disampaikan pada tarikh berkenaan di mahkamah terbuka.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Rayuan minggu lalu, peguam yang mewakili kerajaan berhujah bahawa pengharaman buku itu adalah mengikut undang-undang.

Menteri Dalam Negeri dan kerajaan memfailkan rayuan memohon untuk mengembalikan larangan itu yang telah ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Feb 2022.

Pada masa itu, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman oleh penulis, Ngeo Boon Lin serta penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Tong Sin untuk menarik balik larangan itu supaya karya berkenaan boleh dijual dan diedarkan di Malaysia.

Hakim Noorin Baharuddin juga memerintahkan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan membayar RM5,000 kepada dua pemohon semakan kehakiman itu.

Noorin memutuskan bahawa tiada bukti dan asas fakta undang-undang terhadap justifikasi menteri yang menjadi asas dalam perintah larangan itu

Hakim itu berkata KDN dan kerajaan gagal membuktikan terdapat prejudis terhadap ketenteraman awam, walaupun selepas lebih tujuh tahun buku itu diterbitkan.

Pada 17 Feb 2021, Chong dan Ngeo memfailkan semakan kehakiman yang mendakwa perintah pengharaman itu adalah tidak rasional serta tidak seimbang kerana tidak berlaku insiden tidak diingini yang dicetuskan oleh buku tersebut sejak ia diterbitkan lebih tujuh tahun lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS