Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunaikan manifesto, ambil alih penyelenggaraan flat kos rendah - Penduduk

Sekumpulan penduduk rumah flat kos rendah menuntut kerajaan memenuhi janji manifesto pada pilihan raya umum ke-15 untuk mengambil alih penyelenggaraan rumah flat kos rendah.

Seramai 25 wakil daripada 61 flat hari ini berkumpul di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, bagi menyerahkan memorandum kepada wakil kementerian itu.

Kumpulan itu, yang dinamakan sebagai Gabungan Flat Kos Rendah MARHAEN (GFKR) menggesa kerajaan menukar yuran penyelenggaraan bulanan flat kos rendah kepada kadar taksiran kerana lebih berpatutan bagi golongan B40 yang tinggal di flat kos rendah.

Dalam manifesto PRU15 di bawah janji "Rumah Harapan untuk rakyat", PH berjanji mengambil alih penyelenggaraan flat kos rendah bagi memastikan keselamatan dan keadaan hidup berkualiti untuk penduduk.

"Kami sudah berbincang dengan wakil kementerian dan mereka akan membawa perkara ini kepada perhatian menteri," kata penyelaras GFKR, S Mathavi kepada Malaysiakini selepas pertemuan itu.

Memorandum itu diserahkan kepada setiausaha jabatan perancangan, Amir Onn Mustapha selepas perjumpaan selama satu jam dua puluh minit.

Menurut Marthavi, mereka diberitahu bahawa masih tiada peruntukan untuk penyelenggaraan flat kos rendah walaupun janji telah diberikan kepada mereka sebelum ini.

Katanya, kementerian meminta GFKR memberi mereka senarai rumah flat di bawah Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan juga yang bukan di bawah JMB serta masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu, pengerusi flat kos rendah Subang Perdana, Mohd Yusoff Dol, 60 berkata kerajaan perlu melihat perkara ini secara serius.

“Kami datang dari jauh nak hantar memorandum ini, kenapa kamu (kerajaan) tak boleh datang tengok keadaan kami.

“Kamu berjanji semasa pilihan raya dan kini menjadi kerajaan tetapi kamu tidak tunaikan janji, rakyat menderita,” kata Yusoff.

Timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata dalam pertemuan itu mereka membawa semua isu yang dihadapi penduduk flat kos rendah.

“Dalam manifesto jelas menyebut pengambilalihan penyelenggaraan untuk flat kos rendah.

"Bagaimanapun, dalam pertemuan ini, terdapat satu isu iaitu siapa yang akan membayar penyelenggaraan," kata Arutchelvan.

Dia membandingkan rumah teres kos rendah di mana rumah flat rendah perlu membayar kadar taksiran, cukai tanah dan yuran bulanan tetapi tidak mendapat perkhidmatan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti pemotongan rumput, pembersihan longkang, lampu tepi jalan dan taman permainan.

Bagaimanapun, Arutchelvan berkata, penduduk lebih suka membayar kadar taksiran berbanding yuran bulanan kerana ia lebih berpatutan.

“Kalau mereka nak bayar kadar taksiran, kita sanggup tetapi jika mereka minta RM50 atau RM60 atau RM100 untuk bayaran penyelenggaraan, mereka tidak mampu,” katanya.

Menurut wakil yang hadir hari ini, lebih kurang RM30 hingga RM50 dikutip untuk tujuan penyelenggaraan dan sekitar RM60 hingga RM100 sebulan bagi rumah flat yang mempunyai lif.

Selain mengambil alih penyelenggaraan, kumpulan itu juga menuntut kerajaan supaya:

1. Bil untuk lampu koridor flat dan air perlu dibayar oleh kerajaan untuk membantu B40.

2. Peruntukan tahunan untuk JMB untuk aktiviti sosial rumah flat

3. Rumah flat hendaklah mempunyai dewan atau bilik aktiviti

4. Menyediakan tempat perniagaan di flat.

5. Insurans tahunan dan audit tahunan yang lebih murah untuk JMB


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS