Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Berapa Kelantan belanja anjur rumah terbuka di merata negeri?'

Pemuda Amanah Kelantan tampil mempersoalkan berapakah peruntukan yang dikeluarkan kerajaan Kelantan untuk menganjurkan beberapa siri rumah terbuka Aidilfitri termasuk di luar dari negeri itu.

Naib Ketuanya Ariff Bashiruddin Rusli berkata pemimpin PAS Kelantan dilihat galak mempersoalkan kos rumah terbuka dianjurkan kerajaan persekutuan sebaliknya tidak pula membangkitkan kos penganjuran oleh negeri sendiri.

“Sebelum ini, pemimpin PAS memberi gambaran penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani sebagai pembaziran dan bermotifkan politik, bagaimana pula dengan anjuran kerajaan Kelantan?

“Bolehkah Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari jelaskan kepada rakyat berapa kos keseluruhan dihabiskan kerajaan negeri untuk anjur program rumah terbuka di merata negeri?” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Naib Ketua Pemuda Amanah Kelantan Ariff Bashiruddin Rusli.

Dia berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahmad Fadhli sebelum ini yang melontarkan soalan di Dewan Rakyat berhubung kos penganjuran Rumah Terbuka Madani di beberapa negeri, baru-baru ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kerajaan membelanjakan lebih RM6 juta untuk menganjurkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali dalam jawapan bertulis di parlimen berkata, acara itu menelan kos sebanyak RM3.1 juta di Kedah, manakala acara yang sama di Kelantan dan Terengganu masing-masing melibatkan kos RM1.5 juta.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan kos sebanyak RM200,000 dalam jawapan tersebut apabila Armizam menyatakan kos keseluruhan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di tiga negeri tersebut ialah sebanyak RM6.3 juta, sedangkan pecahan yang diberikan hanya melibatkan RM6.1 juta.

"Jumlah perbelanjaan ini meliputi semua perkara seperti persiapan tempat, logistik dan perbelanjaan jamuan kepada orang ramai.

"Jumlah kehadiran untuk program di Kedah adalah seramai 25,000 orang, manakala di Kelantan dan Terengganu seramai 15,000 orang pengunjung di setiap negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan turut membandingkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri ketika pentadbiran perdana menteri sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob yang menelan kos RM11 juta, dengan kehadiran 70,000 orang.

Sementara itu, Ariff Bashiruddin mendakwa selain mengadakan majlis rumah terbuka di dalam negeri, kerajaan Kelantan turut menganjurkan acara itu di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Tak cukup dengan majlis raya anjuran parti dan kerajaan negeri di dalam negeri, ada pula majlis Aidilfitri bersama perantau dianjurkan di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Jadi sebenarnya berapa banyak majlis sambutan Aidilfitri yang dibuat dan berapa pula kos sudah dihabiskan oleh kerajaan Kelantan?

“Pemuda PAS cuba gambarkan majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani sebagai membazir, rupanya di pihak mereka lagi meriah sambutan raya.

“Justeru kami menyeru dalam perkara mengadakan program pada rakyat seperti rumah terbuka ini, usahlah dijadikan bahan politik sempit,” kata Ariff lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS