Badan pemantau alam sekitar Rimbawatch menggesa Putrajaya menghalang percubaan untuk menukar enam bidang tanah di Hutan Simpan Chini menjadi "ladang hutan".
Rimbawatch berkata pihaknya telah melihat surat perunding penilaian kesan alam sekitar (EIA) mengenai cadangan projek itu kepada Kampung Orang Asli Melai, menggesa penduduk itu menghadiri dialog pada Jumaat ini.
Katanya, ladang yang dicadangkan itu berkongsi sempadan dengan Rizab Biosfera Unesco dan berada dalam kawasan yang dicadangkan oleh kerajaan sebagai "Zon Pinggiran Biosfera", sebagai sebahagian daripada Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini.
“Program ladang hutan sebelum ini digembar-gemburkan sebagai satu cara untuk memulihkan hutan yang rosak, hutan yang diceroboh, tanah negeri yang tidak produktif dan hutan yang tidak terjaga dengan baik.
"Walau bagaimanapun, imejan satelit bagi petak Hutan Simpan Chini yang terjejas antara 1984 dan 2022 menunjukkan gangguan minimum kepada hutan tersebut, yang kebanyakannya kekal sebagai hutan primer yang utuh.
"Oleh itu, tiada justifikasi untuk menggantikan hutan tersebut dengan ladang," kata Rimbawatch pada satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Rimbawatch mencadangkan pihak berkuasa menolak sebarang cadangan untuk penanaman ladang balak di Hutan Simpan Chini dan juga menolak sebarang laporan EIA mengenai projek tersebut.
Menurut Rimbawatch, jumlah keluasan ladang yang dicadangkan ialah 1,625 hektar, lebih kurang keluasan 657 padang bola, atau 10 kali ganda keluasan Bukit Kiara di Kuala Lumpur.
Di bawah draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tasik Chini (Pindaan) Kerajaan Pahang, negeri itu mahu menambah saiz Rizab Biosfera Chini dari 6,951.44 hektar ke 9,142.62 hektar.
Sempadan yang diperluaskan, dikenali sebagai Zon Persisian Biosfera, turut diperkenalkan pada masa itu.
Sementara itu, Rimbawatch memberi amaran bahawa ladang kayu monokultur merupakan pemacu terbesar penebangan hutan di Malaysia ketika ini kerana ia melibatkan pemusnahan hutan semula jadi dengan diganti menjadi ladang perindustrian.
"Kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa program ini, yang dirujuk sebagai 'ladang hutan' oleh pihak berkuasa negeri dan persekutuan, hanyalah satu kaedah untuk mengaburi penebangan hutan dan ia tidak wajar dari segi ekonomi atau ekologi," katanya.
Rimbawatch juga menggesa kerajaan untuk menyekat semua projek "ladang hutan" masa depan dan menutup baki konsesi.
Mereka juga menggesa kerajaan untuk mengakui bahawa "ladang hutan" membabitkan penebangan hutan dan bertanggungjawab ke atas kerosakan kepelbagaian bio, masyarakat dan iklim.