Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Halim Saad nafi disiasat berhubung pembelian RM2.3 bilion saham Renong
Diterbitkan:  May 25, 2023 12:08 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Usahawan Halim Saad akhirnya mengulas laporan media yang menyebut dirinya dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan.

Dia bagaimanapun menafikan laporan yang menyatakan suruhanjaya itu memanggilnya berhubung urus niaga yang membabitkan pembelian 32.6 peratus kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997.

Urus niaga itu dilaporkan berlaku ketika krisis kewangan Asia dan didakwa sehingga menyebabkan Indeks Komposit KL menjunam sebanyak 20 peratus.

“SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu,” kata bekas pengerusi eksektif Renong Bhd itu kepada FMT Business.

Artikel FMT menyebut bahawa Edge, selain memetik sumber SPRM sebagai mendakwa bahawa siasatan berkenaan urus niaga Renong, juga menerbitkan semula sepenuhnya tiga artikel akhbar itu mengenai pemerolehan saham Renong UEM dari November 1997 untuk “menyegarkan ingatan pembaca”

Halim berkata, artikel-artikel itu mencetuskan spekulasi tidak berasas mengenainya dan menimbulkan pertikaian mengenai peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

“Saya cabar mereka kemukakan bukti mengenai salah laku saya dalam urus niaga berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, laporan FMT tidak menjelaskan tujuan SPRM memanggilnya.

Minggu lalu, SPRM dilaporkan telah menyoal seorang bekas menteri kanan dan seorang usahawan.

Semalam, Malaysiakini mengenal pasti mereka sebagai Daim Zainuddin, yang pernah menjadi menteri kewangan sebanyak dua kali semasa tempoh penggal pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, dan Halim.

Malaysiakini melaporkan bahawa kedua-dua mereka tidak menjawab sebrang pertanyaan yang dihantar kepada pembantu masing-masing berhubung siasatan SPRM tersebut.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa siasatan SPRM itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Kebocoran Kertas Pandora berlaku pada 2021 apabila sumber tanpa nama berkongsi dengan ICIJ 2.94 terabait fail kewangan sulit, berjumlah lebih daripada 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang (shell) dan amanah di kawasan perlindungan cukai sekitar dunia.

Berikutan kebocoran itu, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membidas Malaysiakini atas apa yang didakwanya sebagai "obsesi yang tidak berkesudahan" portal berita ini terhadapnya.

Ini selepas Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai pegangannya di luar pesisir.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS