Kementerian Pendidikan tidak menaja tayangan filem "Anwar: The Untold Story" untuk pelajar sekolah di Putrajaya baru-baru ini.
Menurut Atiqah Syairah Shaharuddin, setiausaha politik kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, tayangan itu ditaja oleh orang ramai dan sebuah NGO.
"Ini merupakan inisiatif para penyumbang dan NGO dalam memastikan anak-anak di sekolah mendapat akses pendemokrasian dan pengenalan kepada figura pemimpin negara," katanya pada hantaran di Facebook.
"Kisah ini adalah tentang turun naik, jatuh bangun perjuangan melawan korupsi," katanya lagi.

Atiqah berkata dia antara penyumbang majlis tayangan amal filem itu bagi 50 pelajar tingkatan 6 SMK Putrajaya Presint 5 (1) pada minggu lepas.
Fadhlina (gambar, atas) turut menghadiri tayangan tersebut.
Menurut FMT, penolong kanan sekolah berkenaan berkata tayangan amal itu dianggap sebagai aktiviti kokurikulum dan pelajar hanya boleh mengambil bahagian dengan kebenaran ibu bapa mereka.
"Tiada paksaan. Tiada merit tambahan kepada pelajar. Tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam yang menonton.
“Tiada surat sokongan yang dikemukakan kepada penyumbang," jelas Atiqah.

Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin melalui akaun Facebooknya semalam memuat naik dua dokumen (gambar, atas) yang didakwa pekeliling membabitkan tayangan eksklusif filem itu bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta jemputan ke tayangan amal filem berkenaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPMKL).
"Sedang viral. 'The Unsold Story'?," tulis Radzi yang juga bekas menteri pendidikan di Facebooknya.
Facebook rasmi JBPM juga memaparkan tayangan amal yang berlangsung 20 Mei di GSC IOI City Mall Putrajaya itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah JBPM, Abdul Wahab Mat Yasin.
Filem "Anwar The Untold Story" memulakan tayangannya di pawagam seluruh negara pada 18 Mei lalu.

Tayangan pembukaan karya yang mengisahkan perjalanan hidup Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan.
Aktor Farid Kamil memegang watak utama sebagai Anwar dalam filem itu.
Meskipun berdepan kritikan, penerbit eksekutif filem itu, Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar menyambut baik usaha agensi kerajaan mengadakan tayangan amal filem berkenaan.
Katanya, filem yang dihasilkan daripada kisah benar perjalanan hidup Anwar itu sarat dengan pendidikan dan pengajaran khususnya buat generasi muda.

Jelasnya, paling utama filem itu mendidik masyarakat tentang jenayah rasuah.
Oleh itu Zunar menyeru agar tayangan filem berkenaan diperluaskan kepada agensi-agensi ataupun kementerian kerajaan yang lain.