mk-logo
Berita
AKSB - Sagu hati RM200 untuk ringankan beban kakitangan
Diterbitkan:  May 25, 2023 9:59 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Air Kelantan Sdn Bhd menjelaskan pemberian sagu hati kepada ahli lembaga pengarah dan kakitangan adalah untuk meringankan beban warga syarikat itu ketika sambutan Aidilfitri.

Pembekal induk bekalan air di Kelantan itu berkata pemberian sebegini merupakan amalan biasa sesebuah syarikat.

"Amalan memberi sagu hati kepada ahli lembaga pengarah dan kakitangan syarikat merupakan amalan biasa sebuah syarikat sebagai keraian dan membantu meringankan beban warga syarikat dalam menyambut Aidilfitri.

"Bayaran sagu hati ini dibuat mengikut prosedur tadbir urus dan diluluskan lembaga pengarah iaitu badan tertinggi sesebuah syarikat," kata AKSB pada kenyataan yang dikongsi Facebook Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan, hari ini.

Kenyataan itu dilihat sebagai mempertahankan kritikan terhadap agensi berkenaan selepas dokumen kelulusan pemberian sagu hati itu tersebar di media sosial beberapa hari lalu.

Terdahulu, dokumen berbentuk notis itu dilapor antara lain memaklumkan AKSB meluluskan pemberian sagu hati sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah, manakala semua kakitangan syarikat menerima bayaran RM200.

Setiausaha syarikat kepada AKSB pula diberi RM2,000.

Susulan itu, agensi berkenaan dihujani kritikan pelbagai pihak, antara lain membandingkan imbuhan berkenaan dengan permasalahan bekalan air dihadapi penduduk Kelantan sejak sekian lama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS