Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Notis sagu hati RM10,000 bocor, AKSB buat laporan polis

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membuat laporan polis berikutan kebocoran dokumen sulit yang dikelaskan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, menurut sumber.

Sumber berkata laporan polis dibuat pegawai undang-undang AKSB terhadap dua hantaran Facebook individu dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain.

"Difahamkan laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kota Bharu, semalam," kata sumber yang rapat dengan kerajaan Kelantan kepada Malaysiakini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berkait isu tersebut.

“Saya boleh sahkan kita menerima satu laporan yang dibuat pada 23 Mei kira-kira jam 2.50 petang,” katanya ketika dihubungi.

Pengurus Besar AKSB Nazmi Ghazali Azmi mengesahkan kepada media berkenaan laporan polis yang dibuat namun tidak memperincikannya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Wan Mahussin mendedahkan salinan notis yang didakwa dikeluarkan AKSB mengenai pemberian Aidilfitri pada tahun ini.

Notis tersebut antara lain memaklumkan AKSB meluluskan pemberian sagu hati sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah, manakala semua kakitangan syarikat menerima bayaran RM200.

Setiausaha syarikat kepada AKSB pula diberi RM2,000.

Sementara itu Wan Mahussin ketika dihubungi memaklumkan dia dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan pada malam ini.

Namun katanya, setakat ini pihak polis tidak memberi penjelasan lanjut ia berkaitan isu apa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS