Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kaji bayar pampasan tanaman dirosakkan hidupan liar
Diterbitkan:  May 24, 2023 3:09 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Kerajaan sedang merangka dasar baru berkaitan pembayaran pampasan kepada pemilik tanaman yang mengalami kerugian akibat tanaman dirosakkan oleh hidupan liar, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bagi merangka dasar itu serta mekanisme pelaksanaan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan.

“Kalau untuk kematian atau kecederaan akibat hidupan liar memang ada sagu hati.

“Yang jadi isu sekarang ialah kerosakan kepada tanaman yang menimbulkan kemarahan pemilik tanaman hingga menyebabkan mereka ambil tindakan terhadap hidupan liar," katanya sambil menambah perkara itu akan dilihat secara menyeluruh.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Himpunan Bulanan dan Dialog Biodiversiti di Putrajaya hari ini, Nik Nazmi berkata perbincangan turut menyentuh mengenai aktiviti pertanian di kawasan berdekatan habitat hidupan liar atau hutan simpan hingga menjadi punca tercetus konflik antara manusia dan haiwan.

“Perbincangan secara menyeluruh penting kerana kita tidak mahu pampasan diberi kepada pihak tidak berkenaan contohnya mereka yang mengusahakan aktiviti pertanian berdekatan kawasan hutan simpan,” katanya.

Pada 2004, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas yang bertujuan meringankan tanggungan kos rawatan mangsa serangan binatang buas atau waris terdekat dengan kadar bayaran minimum RM200 atau maksimum RM20,000 sekiranya melibatkan kematian.

Terdahulu ketika sesi Dialog Biodiversiti itu, Nik Nazmi menyuarakan kebimbangan sekiranya kerajaan tidak bertindak secara proaktif terhadap konflik manusia dan hidupan liar.

"Konflik seumpama ini bukan sahaja mendatangkan kecederaan malah boleh meragut nyawa," katanya pada sesi dialog yang turut disertai Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS