Paling Popular
Terkini

PARLIMEN l Isu berkaitan kesihatan mental tidak seharusnya dijadikan modal politik, terutamanya sebagai alat untuk mengaib dan mempersendakan mana-mana pihak kata Chiew Choon Man (PH-Miri).

Dia memberi peringatan itu susulan kenyataan Jamaludin Yahya (PN - Pasir Salak) yang mencadangkan kepada kerajaan supaya kumpulan Gay, Lesbian, Biseksual dan Transgender (LGBT) dikategori sebagai pesakit mental.

Jamaluddin (gambar atas) mengemukakan cadangan itu ketika mencelah ucapan Halimah Ali (PN-Kapar) semasa perbahasan Rang Undang-undang Akta Kesihatan Mental (pindaan 2023) di Dewan Rakyat.

Halimah Ali (PN-Kapar)

Halimah kemudian bersetuju dengan cadangan yang disuarakan Jamaludin itu dan bersetuju ia dijadikan sebagai sebahagian daripada ucapannya.

Bagaimanapun, Chiew membidas cadangan "tidak berasas" Jamaluddin, dengan menegaskan bahawa adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak dilabelkan sebagai pesakit mental tanpa asas perubatan atau pandangan daripada pakar perubatan.

“Saya berharap semua ahli parlimen di dewan ini harus hormati setiap individu yang ada dalam atau luar dewan ini.

“Isu kesihatan mental tidak patut dijadikan satu alat untuk tujuan mempersenda atau mengaibkan sesiapa atau mana-mana pihak.

“Isu kesihatan mental adalah satu su kesihatan yang harus ditangani secara serius dan profesional oleh semua.

Chiew Choon Man (PH-Miri)

“Oleh itu, saya dengan ini, menyangkal kenyataan Pasir Salak dalam perbahasan Kapar tadi yang menyatakan LGBT harus dimasukkan dalam masalah kesihatan mental," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh membentangkan RUU pindaan itu untuk bacaan kali kedua.

Menurut kepada Seksyen 309 Kanun Keseksaan, pegawai yang menangkap orang di bawah subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang praktik, tetapi tidak lewat daripada 24 jam selepas penangkapan itu, membawa orang berkenaan kepada pegawai perubatan di hospital psikiatri kerajaan atau pengamal perubatan berdaftar di hospital psikiatri swasta yang diwarta untuk pemeriksaan.

Ia bertujuan untuk menyahjenayahkan cubaan membunuh diri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS