Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN rampas jam Swatch dikaitkan dengan tema LGBT
Diterbitkan:  May 22, 2023 8:44 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu beberapa butik jam tangan jenama Swatch pada 13 dan 14 Mei lalu kerana menjual koleksi jam tangan bertema warna pelangi yang dikaitkan dengan komuniti LGBTQIA+.

The Edge melaporkan koleksi jam yang dinamakan sebagai 'pride collection' itu mencuri perhatian pihak berkuasa menerusi satu hantaran media sosial yang mengaitkannya dengan sokongan kumpulan Coldplay terhadap komuniti LGBTQIA+.

Akhbar itu melaporkan KDN menyerbu 11 butik Swatch di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik iaitu KTCC Terengganu, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching dilaporkan diberi amaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch, Nick Hayek Jr, menzahirkan rasa terkejut dan kecewa terhadap rampasan tersebut. Hayek turut menegaskan sokongan jenama Swatch terhadap semangat inovasi dan kepelbagaian.

"Swatch berbangga menjadi kanvas pada tangan pemakai jam jenama kami yang merangkumi pelbagai jenis manusia di serata dunia dan seniman yang bekerjasama dengan kami. Jenama ini diminati kerana percikan kreativiti dan rampaian warna yang menghiasi kualiti jam keluaran Switzerland. Kami amat sangsi bahawa koleksi jam yang menggunakan warna-warna pelangi dengan mesej kedamaian dan kasih sayang boleh membahayakan mana-mana orang.

"Sebaliknya, Swatch sentiasa mempromosikan mesej positif berkaitan kegembiraan dalam hidup. Mesej ini tidak bersifat politik. Dalam hal ini, kami tertanya-tanya adakah Bahagian Penguatkuasa Dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri akan 'merampas' pelangi-pelangi yang muncul secara semula jadi setiap kali selepas hujan di langit Malaysia," kata Hayek dipetik The Edge.

Menurutnya, jenama Swatch sejak dahulu dikenali dengan kepelbagaian warna dan rekaan yang bertujuan meraikan kepelbagaian individu daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sewaktu berita ini dilaporkan, Swatch Group sedang memohon agar jam-jam yang dirampas dipulangkan semula.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS