Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan untuk menyah jenayah bunuh diri melalui undi suara.
Ketika membentangkan bacaan kali kedua rang undang-undang bagi meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Refromasi Institusi) Ramkarpal Singh mengakui bahawa peruntukan semasa mengenai jenayah bunuh diri adalah "tidak berkesan".
Tambahnya, usaha meminda peruntukan itu akan menggalakkan mereka yang terjejas untuk tampil mendapatkan bantuan serta menghapuskan stigma terhadap cubaan membunuh diri.
Rang undang-undang yang diluluskan termasuk pindaan kepada Seksyen 305 dan 306 Kanun Keseksaan untuk memasukkan jenayah membantu dan bersubahat cubaan membunuh diri kanak-kanak dan orang kurang upaya.
Ia juga memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, membatalkan percubaan bunuh diri di bawah Akta 574.
Hukuman yang dicadangkan kerana bersubahat bunuh diri atau cubaan bunuh diri ialah penjara sehingga 20 tahun, serta denda.
Seksyen 309 menghukum cubaan bunuh diri dengan penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya.
Semasa perbahasan, beberapa ahli parlimen pembangkang membangkitkan kebimbangan sama ada pindaan itu telah mempertimbangkan pandangan agama serta rangka kerja undang-undang yang digunakan di negara Islam lain.
Sebagai tindak balas, Ramkarpal berkata rangka kerja undang-undang negara yang masih menganggap bunuh diri sebagai jenayah seperti Brunei, Qatar dan Emirates telah dikaji.
Dia bagaimanapun menegaskan bahawa Pakistan, juga sebuah negara Islam, telah pun menyah jenayah bunuh diri.
Ramkarpal menambah bahawa Jabatan Peguam Negara juga telah berhubung dengan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa Syariah mengenai nyah jenayah itu.
Putrajaya telah mengetengahkan cadangan nyah jenayah cubaan bunuh diri sejak era kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.
Pada 2021, talian bantuan psikososial Kementerian Kesihatan menerima hampir lima kali lebih banyak panggilan berbanding tahun sebelumnya.
Dari Januari dan Disember 2021, talian bantuan menerima 212,319 panggilan, berbanding tempoh yang sama pada 2020, yang menyaksikan talian bantuan menerima 44,061 panggilan.
Ramkarpal hari ini berkata sebelum penularan wabak Covid-19, Kementerian Kesihatan mendapati prevalens kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas adalah 2.3 peratus, melibatkan hampir 500 ribu orang.
Dia menambah bahawa kajian menunjukkan bahawa individu yang mengalami kemurungan adalah 20 kali lebih berkemungkinan mempunyai tingkah laku bunuh diri dan mati akibat bunuh diri.