Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, Petaling Jaya terbakar sekali lagi hari ini.
Bangunan sama pernah terbakar pada 2018 dan sejak itu ia tidak lagi digunakan.
Menurut maklumat awal, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.39 pagi tadi.
Susulan itu, JBPM Selangor menghantar anggota dari Balai Bomba Petaling Jaya, Damansara, Penchala dan Puchong ke lokasi kejadian.
“Kami juga mendapat bantuan daripada Jabatan JBKL Kuala Lumpur,” kata sumber bomba kepada Malaysiakini.
Beberapa video kebakaran turut dikongsi oleh warganet di platform media sosial.
Berdasarkan gambar yang tular, bangunan yang terletak di pinggir Lebuhraya Persekutuan itu dimakan api dan asap akibat kebakaran itu dapat dilihat dari beberapa kilometer.
Difahamkan kebakaran itu membabitkan tingkat empat dan tingkat lima.
Penolong Pengarah (Operasi) JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.08 pagi.
Sementara itu, KWSP dalam kenyataannya berkata bangunan itu kini tidak lagi berpenghuni.
“KWSP mengumumkan salah satu tingkat di bangunannya di Jalan Gasing, Petaling Jaya, terbakar pagi ini.
"Bomba dan Penyelamat kini berada di lokasi dan mengawal kebakaran, dan akan menyiasat punca kebakaran.
“Bangunan terbabit kini kosong dan tidak berpenghuni, dan tiada kecederaan dilaporkan buat masa ini.
"Butiran lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa," katanya.