Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah 'diarah' menjadi negeri miskin, dakwa Sanusi
Diterbitkan:  May 21, 2023 12:20 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Pentadbiran Kedah sama ada yang sekarang atau sebelum ini tertakluk kepada dasar persekutuan dalam hal penggunaan tanah dan itu membawa kepada kadar kemiskinan yang tinggi di negeri terbabit, dakwa Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Menegaskan bahawa Kedah merupakan jelapang padi negara Sanusi berkata negeri terbabit memiliki kawasan yang luas tetapi diarah untuk bercucuk tanam padi.

“Kami ada banyak tanah tetapi kami diarahkan untuk menanam padi. Padi adalah tanaman paling murah tetapi tanaman yang terpenting.

"Cukai tanah untuk sawah adalah yang paling rendah. Kira-kira 130,000 hektar diperuntukkan untuk penanaman padi sahaja," kata Sanusi dalam temu bual dengan akhbar The Star.

Tambah Adun Jeneri itu lagi dia mengusulkan kepada kerajaan pusat agar melihat semula pengorbanan yang dilakukan negeri terbabit dengan menyediakan begitu luas kawasan penanaman padi.

"Kami juga perlu mewartakan lagi hutan untuk tadahan air - lebih daripada 300,000 hektar," kata ADUN Jeneri itu.

Ketika ini Kedah berada di kedudukan kedua dalam senarai negeri termiskin di negara ini selepas Kelantan.

Kata Sanusi dasar pentadbiran pimpinan PAS di negeri itu adalah memastikan sebahagian besar penggunaan tanah dimanfaatkan untuk kepentingan semua negeri lain.

"Oleh itu kami 'diarahkan' menjadi miskin.

"Kami orang Kedah mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri dan kami harus menjadi orang yang menentukan matlamat negeri ini.

“Kita tidak sepatutnya mengikut arahan orang lain tentang apa yang perlu kita lakukan pada tanah kita,” katanya dipetik sebagai berkata.

Justeru Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN berkata dia mencadangkan kepada exco Kedah agar 20 peratus daripada tanah yang diperuntukkan untuk penanaman padi - atau kira-kira 26,000 hektar - agar dibangunkan semula menjadi kawasan perindustrian.

Dengan cara itu katanya tanah terbabit mempunyai nilai lebih tinggi dan berpotensi membawa hasil lebih besar.

Katanya pengurangan saiz tanah untuk penanaman padi juga perlu diseimbangkan dengan memastikan lebih banyak hasil dari sawah dapat dikeluarkan melalui peningkatan kekerapan penuaian.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS