mk-logo
Berita
Wisma Putra bantu bawa turun jasad pengarah APM Kedah
Diterbitkan:  May 20, 2023 10:33 PM
Dikemaskini: 2:33 PM

Kementerian Luar sedang menghulurkan bantuan untuk membawa turun jasad Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia semalam semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menghulurkan bantuan membawa turun jasad Awang Askandar dari Gunung Everest ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah.

Menurut kenyataan itu, kementerian tersebut juga mengesahkan Awang Askandar meninggal dunia semalam pada usia 56 tahun semasa dalam Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023).

“Kementerian Luar menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solihin,” menurut kenyataan itu.

Ekspedisi tersebut disertai oleh beliau bersama dengan tiga orang pendaki dan seorang pasukan sokongan.

Kementerian Luar juga mengesahkan kehilangan Muhammad Hawari Hashim, 33, salah seorang peserta ekspedisi itu yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.

“Beliau dipercayai telah berjaya sampai di puncak Gunung Everest dan telah bergerak turun selepas itu namun masih belum dapat dikesan sehingga kini.

Wakil Kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan yang sedang giat menjalankan usaha pencarian mangsa di sekitar kawasan tersebut,” katanya.

Sebarang perkembangan terkini misi pencarian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

ME 2023 yang dianjurkan Kelab Eksplorasi Altitud, memulakan misi menawan puncak tertinggi dunia itu bermula 2 April sehingga 2 Jun, dengan mendapat sokongan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Misi itu turut mempromosi perpaduan dan membina bangsa Malaysia melalui kepelbagaian bangsa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS