Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Saifuddin Abdullah berkata Anwar Ibrahim perlu berkelakuan sebagai perdana menteri dan berhenti "berlakon".
Dalam kritikannya terhadap Anwar, Saifuddin membangkitkan beberapa tindakan presiden PKR itu sejak menjadi perdana menteri dalam kritikannya itu.
"Saya tidak tahu sama ada kita sekarang dipimpin oleh seorang perdana menteri atau seorang selebriti (sebab) saya tak nampak dia membawa dirinya sebagai perdana menteri, tapi lebih kepada selebriti.
"Cara dia berpakaian dan cuba mengajak orang mengikut 'trend' dia (berpakaian), cara dia berlari-lari anak untuk menghadiri sesetengah program. You perdana menteri, tak payah berlakon," katanya ketika ditemui media selepas majlis sambutan Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di Kuantan, malam tadi.
Pengerusi PN Pahang dan ahli parlimen Indera Mahkota itu turut 'memuji' Anwar kerana menjadi perdana menteri pertama di Malaysia yang ada filem mengenai kisah hidupnya sendiri.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada filem Anwar: The Untold Story yang mula ditayangkan di pawangan seluruh negara pada Khamis lalu.
Saifuddin turut mempersoalkan kewajaran Anwar mengadakan sambutan rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri, berbeza dengan majlis rasmi di Putrajaya seperti yang dilakukan perdana menteri sebelumnya.
"Dia juga tunjuk pandai maka setengah kenyataan dia (buat) mengelirukan, termasuklah dalam isu kalimah Allah.
"Jadi saya nak cakap kat Anwar Ibrahim, tolong jangan merapu boleh tak? Sejak ketika dia bentangkan belanjawan, kami ahli parlimen pun susah nak ikut ucapan dia," katanya lagi.
Saifuddin merujuk kenyataan Anwar bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk kes di Sarawak dan tidak terikat dengan keputusan di negeri lain.
Dia memetik kenyataan Adun Ba’kelalan Baru Bian yang berpandangan penghakiman yang dibuat Mahkamah Tinggi terpakai di seluruh negara.
Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan akan mengekalkan dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah itu dalam kalangan orang bukan Islam.
Dia juga berkata kabinet mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.
Saifuddin turut mendakwa Anwar sebagai seorang yang suka memburukkan orang lain dan itu tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai perdana menteri.
"Siapa yang dia tak serang dalam kalangan orang Melayu? Golongan nasionalis yang diwakili Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, golongan agamawan diwakili Hadi Awang.
"Tak payah perlilah guna istilah 'lebai' dan 'serban' - awak tu perdana menteri," katanya lagi.