Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kalimah 'Allah': MCCBCHST gesa k'jaan kaji semula enakmen negeri
Diterbitkan:  May 19, 2023 8:29 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Sebuah kumpulan antara agama menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kabinet untuk melindungi hak semua rakyat Malaysia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) dalam satu kenyataan turut menggesa kerajaan mengisytiharkan undang-undang negeri sedia ada berhubung larangan menyeluruh terhadap penggunaan perkataan seperti "Allah" oleh orang bukan Islam sebagai tidak berperlembagaan.

"MCCBCHST mengambil maklum bahawa perdana menteri akan mengemukakan cadangan kabinet mengenai isu 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

“Oleh itu, ini adalah masa yang sesuai untuk melihat Seksyen 9 Enakmen Negeri,” kata majlis itu.

Kenyataan majlis itu dikeluarkan sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada hari Rabu yang menunjukkan kerajaan akan berpegang pada status quo berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Anwar berkata kabinet "menghormati, mengiktiraf dan mematuhi" enakmen negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Feb yang meminta dasar sedia ada mengenai penggunaan kalimah "Allah" dikekalkan.

Majlis itu berkata Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan hanya akan membenarkan kerajaan negeri melarang penggunaan perkataan oleh orang bukan Islam apabila terdapat penyebaran fahaman agama kepada orang Islam.

“Oleh itu, perlu ada ‘penyebaran mana-mana doktrin agama’ kepada orang Islam supaya berada dalam lingkungan larangan.

"Sekadar penggunaan perkataan tanpa penyebaran kepada orang Islam tidak boleh mengikut rangkuman Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan," kata MCCBCHST.

“Memandangkan perkara di atas, penggunaan perkataan semata-mata untuk pembelajaran sendiri tanpa sebarang penyebaran kepada orang Islam tidak boleh masuk dalam skop Perkara 11(4).

"Ini, prima facie bermakna Seksyen 9 Enakmen Negeri yang melarang perkataan tertentu walaupun tidak ada penyebaran yang terlibat akan menyalahi perlembagaan dan di luar kuasa yang diberikan oleh Perkara 11(4)," kata kumpulan itu lagi.

MCCBCHST juga menyatakan bahawa kebanyakan negeri di Malaysia telah membuat undang-undang atau enakmen negeri di bawah Perkara 11(4) untuk melarang orang bukan Islam daripada menggunakan antara 20 hingga 40 perkataan, khususnya di bawah Seksyen 9 undang-undang negeri masing-masing.

Kenyataan MCCBCHST ditandatangani bersama oleh presidennya Jagir Singh, timbalan presiden Dao Zhang Tan Hoe Chieow, naib presiden Archbishop Julian Leow Beng Kim, naib presiden Chuan Yuan, dan naib presiden Ganesh Babu Rao.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS