Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adegan Anwar kena pukul ilham dari RCI mata lebam - Zunar
Diterbitkan:  May 19, 2023 5:34 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Produser eksekutif filem Anwar itu tampil menjawab dakwaan Khairuddin Abu Hassan bahawa karya ini 'haprak berunsurkan propaganda'.

Produser eksekutif filem Anwar: The Untold Story, Zunar menjelaskan skrip karya itu ditulis berdasarkan "Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk menyiasat kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis."

Dia menyangkal dakwaan bekas pemimpin Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan bahawa filem tersebut terdapat fakta tidak tepat dan berunsur propaganda.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque menyifatkan penyokong tegar Dr Mahathir Mohamad itu sebagai kurang membaca.

Kata Zunar, adegan dalam filem tersebut terutamanya insiden "mata lebam" yang menyaksikan Anwar dipukul di dalam lokap polis dan dibiarkan tanpa rawatan selama lima hari adalah berdasarkan fakta laporan RCI berkenaan.

“Untuk pengetahuan Khairuddin, untuk memberi komen filem ini meloyakan itu tidak cukup.

“(Ini) kerana rakyat sekarang sudah membuka mata, dan mereka tidak boleh lagi menerima kenyataan retorik politik murahan seperti itu.

"Komen mesti berdasarkan fakta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun jelas Zunar, dalam sebuah filem, akan terdapat adegan yang ditokok tambah supaya dapat mewujudkan kesan dramatis tanpa memadamkan fakta sejarah sesuatu peristiwa itu.

“Laporan (RCI) ini dikeluarkan pada tahun 1999. Untuk pengetahuan Khairuddin, laporan Suruhanjaya Diraja ini dibentangkan terus kepada YDPA Agong.

"Sesuatu yang dibentang kepada Agong tidak boleh mengandungi fitnah atau tohmahan,” jelas Zunar.

Terdahulu, selepas selesai menonton filem tersebut Khairuddin menyifatkannya sebagai filem ‘haprak berunsur propaganda’ bertujuan memfitnah dan mencemarkan reputasi Mahathir.

Khairuddin dikenali sebagai penyokong tegar Dr Mahathir Mohamad.

Dia berpendapat filem berkenaan mengandungi fakta-fakta yang tidak tepat dan turut menyoal mengapa filem itu perlu digarap oleh Viva Westi seorang sutradara dari Indonesia dan bukannya pengarah tempatan memandangkan naskhah seni itu mengenai tokoh Malaysia.

Latar waktu untuk filem itu ketika Anwar memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan dari 1991 sehingga dipecat pada 1998.

Filem Anwar: The Untold Story ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula semalam.

Antara barisan pelakon yang menjayakan filem itu ialah Farid Kamil sebagai Anwar, Acha Septriasa (Wan Azizah Wan Ibrahim), Hasnul Rahmat (Mahathir), Piet Pagau (bapa Anwar) dan Saskia Chadwick (Nurul Izzah).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS