Paling Popular
Terkini

Ahli Keluarga mereka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) meminta pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Penyelaras Suaram Wong Yan Ke berkata adalah penting bagi menteri untuk turun padang berjumpa ahli keluarga tahanan berkenaan.

“Saifuddin perlu membuat janji temu dengan ahli keluarga tahanan untuk mendengar tuntutan dan keperluan mereka.

“Merekalah yang menderita. Mereka adalah mangsa Sosma,” katanya kepada Malaysiakini.

Tuntutan ini dimasukkan dalam memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri pagi tadi.

Ia diterima oleh timbalan setiausaha kementerian di ibu pejabatnya di Putrajaya.

Turut hadir pada penyerahan memorandum itu ialah saudara mara 90 individu yang didakwa menjadi ahli “Geng Rusa Boy”, “Geng Sakai”, dan “Geng 08 GST”.

Menurut Wong ketiga-tiga kumpulan tahanan itu masing-masing direman pada 2020, 2021 dan 2022.

Kesemua mereka kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Selain itu, memorandum itu juga mengulangi tuntutan agar Seksyen 13 dan Subseksyen 4(5) Sosma dipinda.

Seksyen 13 melarang ikat jamin kepada individu yang didakwa mengikut undang-undang, kecuali bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun, wanita, dan orang sakit atau kurang upaya.

Seksyen 4(5) membenarkan seseorang itu ditahan selama 28 hari tanpa perlu membawa orang itu ke majistret seperti yang dikehendaki di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Saifuddin berkata pada Disember tahun lepas bahawa dia terbuka untuk menyemak Sosma tetapi tidak ada rancangan untuk berbuat demikian buat masa ini.

Keluarga tahanan berkenaan juga mengulangi gesaan agar Sosma dikenakan moratorium dan jaminan diberikan kepada tahanan.

Sementara itu, Hiroshini Shanmugam, yang suami dan bapa mertuanya dituduh sebagai ahli “Geng Rusa Boy”, mendakwa bahawa tahanan sanggup mengaku bersalah untuk memendekkan hukuman mereka.

“Mereka telah ditahan dan sudah sekian lama tidak berjumpa keluarga.

“Tetapi mereka tahu mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, namun mereka sanggup mengaku bersalah kerana menunggu lama untuk perbicaraan mereka,” dakwa lelaki berusia 30 tahun itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS