Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Protes kes kalimah Allah lepas solat Jumaat di Shah Alam
Diterbitkan:  May 19, 2023 3:36 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Sekumpulan orang ramai berkumpul selepas solat Jumaat di pekarangan masjid negeri Selangor di Shah Alam petang ini bagi membantah tindakan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Bantahan itu disokong oleh pemimpin PAS dan kumpulan berkaitannya seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Gerakan Pembela Ummah selain kumpulan pendesak Melayu Perkasa.

Pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga lagi perkataan Arab dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

Jill Ireland, wanita Kristian dari Sarawak, memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) yang tajuknya mengandungi kalimah Allah, yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, serta perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.

Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 yang tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Dalam perhimpunan hari ini, Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar pada mulanya hanya dapat tidak sampai lima minit apabila seorang anggota polis memintanya berhenti.

Penasihat Gerakan Pembela Ummah Kamaruzaman Mohamad bagaimanapun berunding dengan polis untuk meneruskan acara dengan menegaskan mereka berhimpun secara aman dan mempertahankan hak orang Islam.

“Sabar tuan, ini isu umat Islam”," kata Kamaruzaman kepada anggota polis yang menghampirinya.

Perhimpunan bagaimanapun tidak berlangsung lama dan orang ramai bersurai selepas bacaan doa.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar mendakwa kerajaan tidak mengambil serius berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Hanya selepas desakan daripada rakyat, baru terhegeh-hegeh untuk membentangkan semula di dewan kabinet, cadangan terhadap Agong.

“Kalau isu ini tidak tular, diambil cakna daripada rakyat mungkin hanya dibiarkan,” dakwa Khairul Nadzir.

Khairul Nadzir menegaskan isu itu perlu dibawa ke parlimen supaya orang ramai tahu siapa di kalangan ahli parlimen mereka yang sebenarnya "pembela" kalimah Allah.

Naib Presiden Perkasa, Borhan Ahmad Zakaria pula berkata akidah orang Islam boleh dipengaruhi sekiranya orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah.

“Kepada semua ahli politik bahaskan (dalam parlimen) kemukakan secepat mungkin umat Islam kini tertekan,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu berkata kabinet telah membincangkan perkara itu dan memahami bahawa keputusan menarik balik rayuan itu berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

Ini dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014 untuk menolak kebenaran bagi gereja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalang penerbitan mingguannya, The Herald daripada menggunakan kalimah Allah.

Anwar berkata kabinet juga telah mendapat perkenan daripada Agong untuk membentangkan usul penguatkuasaan berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja di samping mengukuhkan perpaduan, keamanan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

Polis kemudian menamatkan perhimpunan dalam perkarangan masjid tetapi beberapa pemimpin NGO terus berucap kepada media di pintu masuk utama.

Bagaimanapun, polis sekali lagi memberi amaran dan memetik titah Sultan Selangor yang melarang perhimpunan sedemikian diadakan di dalam atau luar pekarangan masjid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS