Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Cyprus batalkan status kewarganegaraan Jho Low'
Diterbitkan:  May 19, 2023 1:12 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Kabinet Cyprus semalam memutuskan untuk menarik balik status kewarganegaraan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Menurut laporan The Cyprus Mail, sumber mengesahkan pembatalan pasportnya dan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan syor menteri dalam negeri, Nicos Nouris.

Sumber itu juga berkata Kabinet tidak menarik balik status kewarganegaraa mana-mana individu lain.

Laporan itu turut memetik Cyprus News Agency (CNA) sebagai berkata, keputusan itu dibuat selepas menteri dalam negeri menerima maklumat baru berkenaan Jho Low.

Ia selepas kerajaan Cyprus pada Mac lalu menyimpulkan tiada bukti yang mencukupi untuk membatalkan kerakyatan Jho Low.

Menteri dalam negeri kemudian berhubung dengan Interpol untuk mendapatkan maklumat tambahan berkenaan ahli perniagaan itu.

Low mendapat status warganegara Cyprus pada 2015.

Dia didakwa sebagai dalang dalam skandal 1MDB dan telah didakwa secara absentia (tanpa kehadiran) di mahkamah Malaysia dan Amerika Syarikat.

The Cyprus Mail berkata walaupun dengan amaran 'risiko tinggi', pengantara di negara itu telah memfailkan permohonan bagi pihak Jho Low.

Ia juga mendakwa dia telah memindahkan hampir €6 juta ke sebuah akaun di Bank of Cyprus dan membeli sebuah banglo di tepi pantai di Ayia Napa pada harga €5 juga.

Dia mendapat status sebagai warganegara beberapa hari kemudian.

Jho Low juga dilaporkan telah menyumbang kira-kira €310,000 kepada pemimpin gereja Kristian Ortodoks Cyprus, Ketua Biskop, mendiang Chrysostomos II yang kemudian memberi sokongan untuknya kepada kementerian dalam negeri.

Pada 2019, program pemberian kerakyatan menerusi pelaburan Cyprus - yang digelar sebagai skim 'pasport emas' - mula diperhatikan.

Kerajaan negara itu kemudian menubuhkan jawatankuasa siasatan yang kemudiannya mendapati 53 peratus daripada 6,779 status kewarganegaraan yang diberikan antara 2007 hingga 2020 tidak mengikut undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS