Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran di Kilometer 375.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2, Bukit Besi-Ajil dekat Dungun, meninggal dunia pada 8.53 pagi tadi.

Ia menjadikan dua mangsa terkorban dalam insiden itu setakat ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata Choo Chia Tan, 44, yang parah di bahagian dada meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.

Katanya, mangsa pertama yang meninggal di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Tan Poh Hwa, 42, seorang pengurus kilang Honda dan mayat telah dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati bas dinaiki 30 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan ke Jeti Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu untuk ke Pulau Redang.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas bas tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata mangsa lain yang cedera telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Dungun.

Katanya sampel air kencing dan darah pemandu bas yang berusia 26 tahun itu diambil untuk pemeriksaan.

"Ketika kejadian cuaca baik, jalan kering dan waktu subuh gelap tanpa lampu di tempat kejadian," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS