Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalimah Allah: Jangan ketepikan fakta, kata Saifuddin

Pemimpin politik di negara ini diingatkan supaya tidak menjadikan isu kalimah Allah sebagai modal sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata dalam usaha untuk mengaut keuntungan politik menggunakan isu tersebut, pemimpin politik tidak sepatutnya mengetepikan fakta.

Ditanya sama ada isu berkenaan akan dimainkan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu komen itu. Tugas saya memberikan fakta terhadap kes ini.

"Saya menggesa semua ahli politik mengambil tanggungjawab... isu ini berkaitan emotif, mereka semua tahu, tapi sambil nak mengaut keuntungan politik jangan belakangkan fakta," katanya kepada media selepas majis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) dan persaraan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya, hari ini.

Tambah Saifuddin lagi dalam isu yang membabitkan seorang wanita Kristian dari Sarawak itu, keputusan mahkamah tidak membabitkan aspek agama,

"Ia adalah dalam aspek pelanggaran terhadap percanggahan keputusan kabinet dengan arahan pentadbiran, itu saja," katanya.

Semalam, jemaah menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata ia turut melibatkan cadangan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini.

Perkara itu antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat kabinet ekoran keputusan Peguam Negara Idrus Harun untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah "Allah".

Anwar berkata Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan menarik balik rayuan hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan mahkamah pada 2014.

Pada 15 Mei lalu Malaysiakini melaporkan Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Jill boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain bagi tujuan pembelajaran.

Ditanya mengenai pihak yang akan menggubal dasar bagi penggunaan kalimah Allah, Saifuddin berkata, perkara itu akan diputuskan oleh kabinet nanti.

“Kalau dari segi akta, punca kuasa itu (ialah dari) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan ia di bawah kawal selia Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Tapi untuk kemukakan (perubahan) yang komprehensif, guna kawal selia isu ini (terserah) kepada Majlis Raja-raja.

“Kabinet akan putuskan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS