Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kena ‘troll’, Sanusi jawab serius: Saya tak kenal
Diterbitkan:  May 18, 2023 1:01 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Seorang individu tampil membuat video parodi memaparkan dia mengutip derma bagi membantu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membayar saman fitnah terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Mahfuz Omar.

Video ciptaan pengguna TikTok @fadlihussin84 memaparkan dia cuba mengutip derma daripada orang awam dan dilihat sekadar untuk melihat reaksi umum terhadap pemimpin PAS itu.

Berdasarkan video tersebut, dia menemui beberapa orang di tempat awam sambil menghulurkan satu tabung kutipan derma untuk bantu Sanusi dan menerima pelbagai reaksi balas.

Bagaimanapun, mungkin tidak menyedari tindakan itu cuma ‘troll’, Sanusi secara serius menafikan dia mempunyai kaitan dengan individu berkenaan.

Malah dia juga sama sekali tidak mengenali lelaki itu dan tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.

“Bayaran saman kepada Datuk Mahfuz saya dah bayar. Saya pun tak kenal dengan individu tu. Tak terbabit dengan saya. Mungkin dia simpati kot dekat saya," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai video yang tular di media sosial melalui aplikasi TikTok itu.

Pada akhir video itu, individu berkenaan turut menasihati Muhammad Sanusi agar berusaha membayar samannya sendiri.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz, bekas ahli parlimen Pokok Sena, menyaman Sanusi berhubung hantaran melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama yang mengaitkan dia dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah berkenaan selain Mahfuz memohon menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Sanusi pada 6 Mei lalu kemudiannya menjelaskan dia sudah membuat bayaran saman kepada Mahfuz melalui peguamnya. 

Sementara itu semakan Malaysiakini mendapati individu yang memperkenal dirinya sebagai Fadli Hussin itu menjelaskan penyokong PAS 'koyak' dengan video parodi tersebut.

"Guys, lawaklah nampak sangat walaun dah koyak, video parodi pun hangpa koyak pasal apa, MB Kedah sendiri ada cakap 'panaih takpa jangan koyak'.

"Real tak real pun apa salahnya ada orang nak tolong bantu MB Kedah bayar saman, apa masalahnya itu pun nak koyak.

“Lain kali jaga mulut, duk petik negeri orang itu orang ini, jangan duk kutuk orang, Kedah jaga Kedah dan Selangor jaga Selangor," katanya dalam satu lagi video yang dimuat naik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS