Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kes ‘Allah’: Kenapa hujah Muhyiddin terlalu rapuh

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran tidak sepatutnya menimbulkan keributan.

Jika diteliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Jill Ireland bt Lawrence Bill v Menteri bagi KDN Malaysia & Anor pada 10 Mac 2021, keputusan Hakim Nor Bee Ariffin hanya menyentuh soal undang-undang pentadbiran dan pelaksanaan kuasa pentadbiran (exercise of administrative powers).

Isunya mudah, lapan cakera padat audio (CD) pendidikan Kristian milik seorang warganegara Malaysia dan Bumiputera beragama Kristian daripada suku Melanau, Sarawak, bernama Jill Ireland dirampas bawah seksyen 102 Akta Kastam 1967 dan seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Lapan CD tersebut mempunyai kalimah Allah pada tajuknya, iaitu (1) Cara menggunakan kunci kerajaan Allah; (2) Cara hidup dalam kerajaan Allah; (3) Ibadah yang benar dalam kerajaan Allah; (4) Metode pemuridan kerajaan Allah; (5) Pribadi yang bertumbuh dalam kerajaan Allah; (6) Hidup benar dalam kerajaan Allah; (7) Pemerintahan kerajaan Allah dalam hidup kita; dan (8) Rahasia kerajaan Allah. 

Ireland mendakwa lapan CD tersebut adalah untuk kegunaan peribadinya kerana selama ini dia dan keluarganya menggunakan Bahasa Malaysia dan Alkitab (terjemahan bahasa Indonesia Yang perkataan Allah digunakan) dan bahan-bahan bertulis dan audio visual dalam Bahasa Indonesia dalam amalan kepercayaan Kristian mereka. 

Penyitaan lapan CD tersebut dilakukan berdasarkan arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang mengatakan kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” dalam penerbitan untuk melindungi ketenteraman awam dan mencegah kekeliruan dan salah faham antara orang Islam dan Kristian.

Setelah melalui perbicaraan awal, Mahkamah Tinggi hanya membenarkan perintah certiorari dan mandamus dan menolak kesemua prayer lain dengan alasan larangan penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Kristian tidak dapat dicabar secara kolateral dalam prosiding semakan kehakiman tetapi hanya dengan mencabar secara spesifik undang-undang yang mengenakan larangan tersebut. 

Setelah dirayu oleh Ireland, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan tersebut tetapi mengembalikan permohonan semakan kehakiman semula ke Mahkamah Tinggi agar prayer (c) dan (d) dapat didengar kerana permohonan tersebut tidak berkaitan dengan penggunaan kalimah Allah tetapi terhadap dakwaan pelanggaran hak perlembagaan pemohon. 

Secara spesifiknya, prayer (c) dan (d) ini adalah: (i) bahawa menurut perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, pemohon berhak mengimport lapan CD tersebut semasa menjalankan hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dan haknya untuk mendapat pendidikan; dan (ii) bahawa menurut perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, pemohon harus dilayan secara sama rata seperti semua orang lain tanpa didiskriminasi atas dasar agamanya dalam pentadbiran undang-undang, khususnya, Akta Kastam dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. 

Hanya menyentuh undang-undang pentadbiran 

Setelah kes ini dibawa kepadnya, keputusan hakim adalah, arahan KDN pada 5 Disember 1986 tersebut bertentangan dengan undang-undang, menyalahi undang-undang dan terbatal kerana ia bertentangan dengan Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penerbitan) (No 4) tahun 1982 (Perintah 1982) yang secara jelas tidak melarang pemilikan atau penggunaan Alkitab di gereja-gereja Kristian di seluruh negara.

Jelas Nor Bee, KDN dan kerajaan juga tidak menunjukkan bukti yang mencukupi, boleh dipercayai dan berwibawa mengenai kekeliruan atau salah faham atau gangguan atau kemungkinan gangguan terhadap ketenteraman awam yang telah terjadi atau boleh berlaku sekiranya kalimah Allah digunakan oleh masyarakat Islam dan Kristian.

Tambah dia lagi, komuniti Kristian di Sabah dan Sarawak juga telah menggunakan kalimah Allah dalam Bahasa Malaysia untuk perkataan Tuhan selama beberapa generasi dalam anutan dan amalan kepercayaan Kristian mereka dan tidak ada keterangan di hadapan mahkamah bahawa amalan tersebut menyebabkan masalah kekacauan awam selama bertahun-tahun. 

Arahan KDN pada 5 Disember 1986 tersebut juga tidak konsisten dengan keputusan polisi kabinet yang tercatat di dalam memo perdana menteri bertarikh 19 Mei 1986 dan memo timbalan perdana menteri bertarikh 16 Mei 1986 yang tidak mengenakan larangan menyeluruh pada kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat sedangkan arahan KDN tersebut mengenakannya.

Oleh itu, terang lagi bersuluh bahawa keputusan hakim hanya menyentuh soal undang-undang pentadbiran dan perjalanan kuasa pentadbiran.

Mantan perdana menteri sewaktu kes ini diputuskan yang kini pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Mohd Yassin, dalam kenyataan medianya menyatakan rasa kesal dengan keputusan Kerajaan Perpaduan menarik balik rayuan dalam kes yang dikatakan melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.

Mengikut Muhyiddin, antara hujah utama KDN yang diketuainya menolak cadangan penyelesaian kes Ireland di luar mahkamah, ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah yang didakwa boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Muhyiddin juga berkata, rayuan tidak perlu ditarik balik, kerana sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan.

Bagaimanapun, hujah Muhyiddin ini terlalu rapuh. Kes Ireland ini akan mengambil masa yang lebih panjang, mungkin bertahun-tahun, untuk diselesaikan sehingga ia selesai sepenuhnya di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Arahan menyeluruh KDN

Disebabkan keputusan kes ini hanya menyentuh soal undang-undang pentadbiran dan perjalanan kuasa pentadbiran, maka cara terbaik dan terpantas untuk menyelesaikannya adalah melalui perubahan pada undang-undang pentadbiran dan perjalanan kuasa pentadbiran.

Oleh sebab itu, pengumuman KDN bahawa ia sedang mengambil langkah mengkaji dan mengemas kini satu arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat”, dan Kaabah agar selari dengan kepentingan dan kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia adalah langkah terbaik.

Ia membuktikan Kerajaan Perpaduan, tidak seperti kerajaan-kerajaan sebelumnya, mempunyai iltizam politik yang kuat untuk menyelesaikan setuntasnya masalah ini dengan tidak perlu menunggu sehingga selepas proses rayuan selesai barulah pihak kerajaan mahu meminda arahan atau undang-undang berkenaan kerana ini hanya akan membazir masa.

Masa sama, jaminan KDN bahawa ia akan memastikan kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan serta kebebasan beragama masih tertakluk kepada undang-undang persekutuan/negeri yang boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam, akan memastikan bahawa kegusaran dalam kalangan umat Islam tidak akan berlaku.

Inilah Malaysia Madani yang sebenarnya, Malaysia yang bertoleransi dan saling menghormati.


RUSDI OMAR adalah profesor di School of International Studies (SoIS) dan dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS