Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Lebih 50 peratus flat awam Johor kotor, ada isu penyelenggaraan

Lebih 50 peratus flat kos rendah di Johor dikategorikan sebagai kotor, selain dikenal pasti mempunyai pelbagai masalah penyelenggaraan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Mohd Jafni Md Shukor berkata masalah tersebut dilihat sama seperti yang dizahirkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar semalam.

Mohd Jafni berkata terdapat lebih 100 projek flat awam di negeri itu yang sebahagian besarnya terletak dalam kawasan ‘Greater Johor Bahru’ iaitu di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai.

“Daripada jumlah itu juga, boleh dikatakan lebih 50 peratus berada dalam kategori seperti yang dititah Sultan Johor,” katanya kepada pemberita selepas melawat Flat Taman Ungku Tun Aminah di Johor Bahru, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Jafni berkata berkata sudah tiba masa bagi kerajaan persekutuan tampil menyediakan peruntukan khas untuk tujuan kerja-kerja penyelenggaran flat awam bukan sahaja di Johor tetapi juga di seluruh negara.

Menurutnya ini berikutan flat awam berbeza dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang mempunyai peruntukan khas untuk diselenggarakan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Selama ini tiada peruntukan khas kerajaan untuk flat awam kerana ia merupakan kediaman swasta yang diuruskan penduduk menerusi penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Malangnya, lebih 70 peratus flat awam di Johor gagal mendapat bayaran penyelenggaraan bulanan mencukupi bagi membolehkan kontraktor melakukan kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat kos rendah atau flat awam di negeri itu.

Titah baginda kebanyakan flat kos rendah di Johor dalam keadaan daif dengan sampah dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS