Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cikgu Ponteng': Kalau semangat belajar, kenapa lambat buat aduan - peguam

Peguam kerajaan mempersoalkan sama ada bekas pelajar yang menyaman gurunya yang didakwa ponteng kelas, sebenarnya bersungguh-sungguh dalam pelajarannya atau tidak.

Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim membangkitkan perkara itu ketika pemeriksaan balas dengan Siti Nafirah Siman ketika perbicaraan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Hafizi berkata ini kerana Siti Nafirah mengambil masa dua bulan untuk membuat aduan kepada pengetua sekolah berhubung guru bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamrin yang didakwa tidak hadir mengajar.

Hafizi: Saya nyatakan anda sebenarnya tidak minat untuk belajar maka lambat melaporkan (perkara ini).

Siti Nafirah: Tidak setuju

Hafizi: Jadi mengapa ambil masa dua bulan untuk lapor kepada pengetua berkenaan Mr JJ (Jainal)?

Siti Nafirah: Sebab saya sudah mengadu dengan cikgu lain dan berharap ada jalan penyelesaian. Kami tunggu tanpa ada keputusan, jadi dalam tempoh itu kami beranikan diri untuk berjumpa dengan pengetua.

Mohd Hafizi kemudian membangkitkan keputusan peperiksaan Siti Nafirah yang kurang cemerlang.

Terdahulu, Siti Nafirah memaklumkan keputusan peperiksaan yang diperolehinya kepada mahkamah, iaitu Bahasa Melayu bertulis (C), Sejarah (D), Perdagangan (D), Kesusasteran Melayu (D), Pendidikan Islam (C+), Sains (C+), Pendidikan Seni Visual (B) dan Bahasa Inggeris (C untuk ujian bertulis dan D untuk ujian lisan).

Dia juga juga gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu lisan dan Matematik.


Berita berkaitan: Pengetua didakwa arah pelajar tulis surat pujuk 'Cikgu Ponteng'


Peguam kerajaan itu menyoal jika gred untuk mata pelajaran lain yang sama dengan Bahasa Inggeris bermakna guru-guru untuk mata pelajaran tersebut tidak menjalankan tugas atau jarang masuk mengajar di kelas.

Menafikan perkara itu, Siti Nafirah berkata dia mendapat gred D untuk mata pelajaran lain kerana tidak semua topik yang diulang kajinya keluar dalam kertas peperiksaan.

Berhubung soalan jika dia akan turut memfailkan saman terhadap guru mata pelajaran lain yang mencatat gred yang rendah, Siti Nafirah berkata dia tidak akan berbuat demikian.

'IQ Siti Nafirah baik tapi ada tekanan emosi'

Mohd Hafizi kemudian menyentuh soal saman yang difailkan, dengan bertanya jika ia dibiayai individu bernama Ibrahim Jaidol dan program Fullbright English Teaching Assistant yang dinamakan dalam pernyataan saksinya.

"Tidak, dia hanya orang tengah dan tuntutan ini tidak dibiayai oleh sesiapa", jelas Siti Nafirah yang bagaimanapun mengakui Ibrahim membiayai sepenuhnya temu janji dirinya dengan pakar psikiatri.

Terdahulu hari ini, ahli psikologi Dr Noor Aishah Rosli memberitahu mahkamah pada 2019 dia menjalankan dua ujian untuk menilai tahap kognitif dan emosi Siti Nafirah.

Menerusi ujian itu, Dr Noor Aishah menyimpulkan Siti Nafirah tiada masalah dari segi IQ, dengan memiliki IQ pada kadar 87 - tidak jauh berbeza dengan kadar purata yang baik iaitu 90.

Berkenaan emosi pula, dia yang merupakan saksi pendakwaan kedua berkata Siti Nafirah mengalami tekanan dan sedikit trauma kerana ketinggalan dalam pelajaran.

Siti Nafirah merupakan pelajar kelas 4 Perdagangan (4PD) di SMK Taun Gusi pada 2015. Pada 30 Okt 2018, dia memfailkan saman terhadap gurunya Jaimal kerana dikatakan ponteng kelas selama tujuh bulan pada 2015.

Selain Jainal, dia juga menamakan Suid (atas kapasitinya sebagai pengetua sekolah), SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pelajaran, menteri pendidikan, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dia mendakwa kegagalan defendan pertama untuk hadir mengajar Bahasa Inggeris di kelas, serta defendan kedua untuk mengambil langkah munasabah untuk mengatasi perkara itu, mengakibatkan pelajar 4PD tidak bersedia untuk peperiksaan yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta Pendidikan 1996.

Siti Nafirah diwakili oleh peguam Shireen Sikayun, manakala Mohd Hafizi mewakili defendan dengan dibantu peguam persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.

Perbicaraan di depan hakim Ismail Brahim bersambung 16 Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS