Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Datang cara baik kita sambut, nak bergocoh kita tak lari'
Diterbitkan:  May 16, 2023 5:50 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim di negeri itu pada hujung minggu lalu tidak membawa sebarang perkembangan baru dalam hubungan kedua-dua pihak.

Ketuanya Mohamad Kamal Mohamed berkata terma kerjasama yang ditekankan perdana menteri semasa ucapan di Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kota Bharu Jumaat lalu bukanlah sesuatu yang baru.

Bahkan katanya ia adalah kontrak federalisme yang memayungi Perlembagaan Malaysia.

Justeru ucapan Anwar tersebut boleh dilihat hanya sebagai ‘tazkirah’ yang diperbaharui sebutannya.

“Tazkirah ini kebetulannya disebut hanya di Kelantan, tidak di sambutan negeri lain termasuk Pulau Pinang.

“Jika mahu dikatakan kerajaan negeri sukar memberikan kerjasama, buktinya melalui projek ECRL perdana menteri ke-10 menyatakan terima kasih atas kerjasama penuh kepada kerajaan negeri pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang mahu menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air bersih yang dihadapi Kelantan sejak berpuluh tahun lalu.

Tak ada yang baru

Bagaimanapun katanya usaha tersebut memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri.

Anwar juga menyatakan Putrajaya akan meneruskan beberapa projek sedia ada di Kelantan. Antaranya pembinaan Jambatan Palekbang dan projek pembinaan tebatan banjir di Sungai Golok.

Mohamad Kamal berkata dalam isu bekalan air, kenyataan yang disebut Anwar pada malam tersebut agak bertentangan dengan pandangan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad sehari sebelumnya.

“Anwar menukar nada kerjasama berdiplomasi sedangkan Nik Nazmi menggunakan lagak konfrontasi terhadap isu air Kelantan.

"Sama ada ia memang disengajakan atau sebahagian permainan politik dirancang antara presiden PKR dan naibnya untuk memunculkan hero orang nombor satu, tidaklah dipastikan.

“Jika Pulau Pinang terus diberikan dana, diumumkan tambahan demi tambahan, Kelantan sudah seperti sekala (biasa) janjinya, kerajaan persekutuan akan mencari dana dan menuntut kerajaan negeri memberikan kerjasama.

“Lalu seperti sekala jugalah kita menunggu dan menunggu, sedang rakyat menanti, kita usahakan segenap kudrat kuasa yang ada menggunakan dana kita yang ada,” katanya.

Mohamad Kamal turut mempersoalkan tahap kesempurnaan "keadilan amalan federalisme" terhadap negeri itu.

”Perdana menteri hanya mengumumkan projek yang telah berjalan atau diluluskan semasa kerajaan terdahulu, atau hanya mempersembahkan angka peruntukan sedia ada kepada majlis agama yang kebiasaannya hanya disampaikan oleh menteri agama.

"Tiada yang baru, masih seperti sekala.

“Lalu berdirilah kita, rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang. Orang datang cara baik kita sambut, mahu bergocoh (bermusuh) kita tidak lari,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS