Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga direman bantu siasatan kes kemuka tuntutan palsu Penjana 2.0

Tiga lelaki direman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian mengandungi butir matan palsu.

Kes itu membabitkan tuntutan berjumlah lebih RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana 2.0).

Perintah reman selama tiga dan empat hari terhadap dua pengarah syarikat perkhidmatan penghantaran dan pemilik syarikat kejuruteraan itu dikeluarkan oleh majistret Muhammad Syafiq Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam, selepas membenarkan permohonan SPRM.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berusia antara 40 hingga 61 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam lewat petang semalam, ketika hadir memberikan keterangan.

“Syarikat yang menjalankan perkhidmatan penghantaran ini dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM900,000 pada 2020 hingga 2022, manakala syarikat kejuruteraan itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM140,000 pada 2021,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS