Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Memali jadi modal serang Hadi lepas sokong Proklamasi Melayu

Tragedi Memali 1985 - yang meragut 18 nyawa - kini menjadi modal di media sosial untuk menyerang PAS dan presidennya, Abdul Hadi Awang.

Ia susulan keputusan Hadi dan pemimpin tertinggi PAS yang lain untuk menandatangani proklamasi pro-Melayu yang diperjuangkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Tragedi Memali merujuk kepada perselisihan antara penyokong PAS dan  pendakwah Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, dengan pihak polis di Baling, Kedah.

Pertembungan antara mereka menyebabkan 14 orang awam, termasuk Ibrahim dan empat anggota polis terbunuh.

PAS mempersalahkan Mahathir berhubung apa yang berlaku, manakala bekas perdana menteri itu pula mendakwa ia sebenarnya adalah kesalahan Hadi - yang didakwa meniupkan keganasan melalui "Amanat Hadi" pada 1981.

“Salah menyalahkan” di antara satu sama lain itu kini menjadi modal dalam kandungan media sosial yang menyerang Hadi dan PAS kerana didakwa cuba “mengampu” Mahathir dengan menandatangani "Proklamasi Melayu".

Antara yang disebarkan adalah video anak mangsa Memali, Mohamad Zuhdi Mat Piah, menghentam mereka yang dahulunya menyokong  mangsa tetapi kini “menjilat” Mahathir.

Video tersebut telah disunting untuk memasukkan visual pertemuan Hadi dengan bekas perdana menteri itu, memberi gambaran bahawa Zuhdi mengkritik presiden PAS.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati maklumat berkenaan adalah salah.

Video dan keluhan Zuhdi itu sebenarnya dibuat pada 2018, dan ia ditujukan kepada pemimpin Amanah, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga bekas pemimpin PAS itu adalah antara mereka yang mempersalahkan Mahathir berhubung kejadian Memali tetapi kemudian bersekongkol dengannya pada pilihan raya 2018.

Dalam catatan di Facebook Isnin lalu, Zuhdi - yang adalah bendahari PAS Selangor - mengecam penyalahgunaan videonya.

Dia juga berkata tindakan sokongan Hadi kepada Mahathir tidak sama seperti yang dilakukan oleh pemimpin Amanah pada 2018.

“Berbeza dengan apa yg dilakukan oleh Hadi bersama pimpinan PAS sekarang (2023) dalam pertemuan dengan Mahathir adalah bagi mengumpul suara pemimpin Melayu Islam.

“Mahathir pun tiada kuasa, bukan nak angkat dia jadi Perdana Menteri.

“Bukan kata Mahathir atau mana-mana  pemimpin jika nak lakukan kebaikan utk orang Melayu dan rakyat memang patut kita sokong,” katanya.

Sementara itu, selain video Zuhdi, rakaman bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam menafikan bahawa Mahathir berada di luar negara ketika insiden Memali juga disebarkan.


BACA l Anak-anak Memali tak maafkan Mahathir


Selain video, modal tragedi Memali juga berlaku di Facebook dan Twitter.

Dalam satu catatan pada 4 Mei, ketua penyelaras komunikasi BN Shafiq Fhadly mempersoalkan kewajaran Hadi bekerjasama dengan Mahathir.

“Mahathir kata Amanat Haji Hadi punca peristiwa Memali. PAS pula tuduh Mahathir punca pembunuhan Memali.

“Kalau betullah berjaya kerjasama antara Hadi dan Mahathir, apalah agaknya perasaan orang PAS yang begitu dekat dengan peristiwa Memali,” katanya.

Penggunaan tragedi Memali untuk berpolitik menandakan kali kedua sejak PRU15 bahawa insiden tragis pertumpahan darah itu dijadikan sebagai modal di media sosial.

Sebelum ini, selepas PRU15, beberapa video menjadi viral di Tiktok dengan membawa mesej bahawa kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 apabila orang Melayu kehilangan kuasa.

Sekurang-kurangnya tiga daripada video tersebut telah dibayar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS