Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN l Annuar silap, WTC jadi saksi kelangsungan titah Agong

ULASAN l Kenyataan Annuar Musa sepertimana laporan Malaysiakini pada 15 Mei lalu hanyalah menzahirkan pemikiran naif serta hatinya yang busuk dipenuhi sifat kebencian.

Annuar sepatutnya sedar bahawa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang dijalankan dua hari lalu adalah kelangsungan - setelah enam bulan - titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca PRU-15.

Dan faktanya jelas. Perikatan Nasional (PN) enggan menyertai kerajaan ini sepertimana dititahkan. Dengan kata lain, PN gagal memahami dan bertindak selaras titah Seri Paduka.

Malangnya, perkara semudah ini gagal difahami Annuar. Bahkan tanpa segan silu, Annuar telah memetik DAP dalam kenyataan beliau.

Saya harap Annuar tonton semula rakaman penuh ucapan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan yang lainnya. Kehadiran DAP bersama-sama 19 parti politik yang lain ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu adalah simbol kesetiaan kepada Raja Melayu yang menjadi tonggak Malaysia sepertimana diikrarkan dalam rukun negara.

Kehadiran ribuan penyokong serta pendokong 19 parti yang membanjiri WTC adalah bukti kesetiaan kepada negara. Meskipun dengan pelbagai latar belakang yang berbeza, kami meninggalkan apa juga perseteruan lampau demi menjunjung titah tersebut.

Annuar mendakwa Konvensyen Kerajaan Perpaduan bakal membawa malapetaka kepada Umno. 

Namun hakikatnya, konvensyen tersebut bukan malapetaka apatah lagi penamat. WTC menjadi saksi sebuah permulaan baru jajaran politik tanah air. 

Politik yang mengangkat agenda rakyat tanpa membezakan bangsa, agama mahupun wilayah tertentu selaras dengan semangat Malaysia yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

Ini jauh sekali berbeza daripada pandangan Annuar yang ternyata meleset dan hanya mampu menafsirkan atas pelabelan 'sosialis' dan 'liberalis' semata-mata.

Pandangan dangkal Annuar ini tidak lain hanyalah menzahirkan keserakahan politik kuasa semata-mata yang mahu memecah belahkan rakyat. Sedang Kerajaan Perpaduan bawah teraju Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang bekerja keras membela rakyat, memulihkan ekonomi dan mengangkat nama Malaysia di mata dunia.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS