ULASAN | Berada di dalam Dewan Merdeka seperti sebuah mimpi—sangat surreal sekali! Selepas merdeka, gabungan 19 parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan hari ini merupakan gabungan terbesar yang tidak pernah wujud sebelumnya. Mungkin masing-masing kelihatan masih keliru dan kekok, untuk kita bertegur sapa.
Di pihak PH, ramai yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke bangunan Umno; di pihak Umno pula, ini julung kali tuan rumah menyambut satu kelompok anggota parti-parti yang berpuluh tahun menjadi musuh dan lawan politik mereka.
Di antara perasaan yang bercampur-baur itu, ada titik penting yang sewajarnya tidak boleh diabaikan kedua-dua belah pihak.
Apakah kita sebenarnya turut menyedari hakikat bahawa permusuhan dan pergeseran sekian lama tidak lain adalah dicetuskan, bahkan ‘direka’ oleh seorang manusia yang bernama Mahathir Mohamad? Tanpa pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 sebagai timbalan presiden Umno oleh Mahathir, sudah pasti cerita politik kita berbeza—tiadalah permusuhan sehebat yang pernah dilalui bangsa selama ini.
Di zaman Mahathir, mesin propaganda menghina Anwar, keluarga dan para pengikutnya bergerak dan merontokkan benih-benih kemanusiaan dengan tanpa sedikit pun rasa berdosa. Belum pernah di dalam sejarah Malaysia, politik kehinaan sampai ke tahap serendah dan sejijik sepertimana yang dilakukan oleh Mahathir.
Hari ini, dengan ego yang sama dan sekali lagi dengan hati kering, Mahathir menyerang dan memusuhi Umno pula; parti yang pernah ditungganginya untuk menyerang Anwar satu ketika dahulu. Seolah-olah bagi Mahathir, Umno tidak pernah berjasa atau memberi tempat yang wajar kepadanya. Dia dengan begitu mudah melupakan bahawa dirinya pernah menjadi presiden, serta dari sana juga dia menjadi perdana menteri paling lama dalam sejarah negara.
Falsafah politik Mahathir sebenarnya sangat mudah. Pertama, dia akan memusuhi sesiapa sahaja yang mengganggu kepentingannya. Kedua, dia akan memusuhi sesiapa juga yang tidak boleh dijadikan tunggangan untuk mencapai nafsu atau menjaga kepentingannya.
Atas dua sebab itulah, dahulu Mahathir memusuhi Anwar; dan sekarang Mahathir memusuhi Umno—atau lebih tepat lagi, memusuhi Zahid Hamidi.
Selepas Konvensyen Kerajaan Perpaduan, kalau ada pihak lain yang mendakwa mereka mahu menyatukan orang Melayu, maka ia dusta dan teriakan kosong semata.
Dengan 19 parti politik yang tergabung dalam kerajaan perpaduan, itu sudah mewakili jumlah orang Melayu-Bumiputera yang terbesar. Ia terbesar dari segi keanggotaan Melayu-Bumiputera dalam parti-parti kerajaan, dan terbesar juga secara jumlah sokongan atau undi yang terkumpul di dalam PRU15 kepada PH-BN.
Maka, PN atau kumpulan Mahathir tidak boleh sama sekali dianggap sebagai penyatu Melayu—jauh sekali kononnya mewakili wajah Malaysia yang berbilang kaum. Paling banyak pun, PN hanya mempunyai keanggotaan dua juta orang Melayu, dengan 1.5 juta daripadanya adalah anggota PAS.
Bersatu yang baru setahun jagung mempunyai keanggotaan sekitar 500 ribu, dan kumpulan Mahathir pula diperkira mewakili 0.0001 peratus sahaja daripada keseluruhan 15 juta pengundi Melayu dalam PRU lalu. Angka berkenaan hampir tidak relevan untuk dihitung.
Keseluruhan jumlah Melayu-Bumiputera yang menyertai parti-parti di dalam PH-BN dianggarkan tidak kurang lima juta orang.
Di blok PH, PKR merupakan parti paling ramai dianggotai orang Melayu, dan diikuti Amanah—total dianggar sekitar 1.5 ke dua juta orang. Di sebelah BN pula, Umno dikatakan mempunyai tiga juta anggota yang kesemuanya merupakan Melayu-Bumiputera. Bagi Sabah dan Sarawak, dianggarkan sejuta lagi orang Melayu-Bumiputera menganggotai parti-parti gabungan seperti GPS, GRS dan Warisan.
Kenyataan ini menjelaskan yang PN-Mahathir merupakan pihak pemecah-belah kesatuan besar bangsa Melayu yang telah bersama kerajaan perpaduan. Tidak masuk akal PN-Mahathir dianggap ‘penyatu bangsa’ kerana mereka merupakan kumpulan lebih kecil. Menjadi hukum alam, biasanya kumpulan minoritilah pemecah-belah kepada kumpulan majoriti.
Di atas fakta-fakta tersebut juga, wajar dan benar sahaja kalau ada yang menyatakan “Proklamasi Orang Melayu” oleh Mahathir adalah unsur pemecah-belah orang Melayu yang turut didukung PAS. Proklamasi itu amat berbahaya kerana berisiko menimbulkan kekacauan antara kaum di hari muka.
Bagi sebuah negara bernama Malaysia, penyatuan mana-mana kaum akan hanya bermakna apabila turut merangkul kaum-kaum lain dalam kesatuan kebangsaan. Apa yang tergambar di dalam dewan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan boleh dijadikan contoh terbaik gambaran realiti kehidupan bernegara bagi rakyat Malaysia yang majmuk.
Di sisi lain, proklamasi Mahathir juga merupakan imbauan politik lapuk yang bukan sahaja sejenis peminggiran secara halus terhadap kaum-kaum lain, tetapi ia juga tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada orang Melayu. Untuk berjaya, orang Melayu tidak boleh terus dilihat merungut dan merengek seperti yang cuba digambarkan oleh Mahathir. Melayu bermaruah bukan begitu.
Melayu bermaruah perlu bertekad melakukan reformasi serta menegakkan keadilan. Menzalimi orang atau kaum lain sesungguhnya hanya perbuatan menangguh kezaliman kepada anak bangsa dan diri sendiri. Lalu tidak hairanlah, pelaku kezaliman tidak berasa bersalah untuk melakukan korupsi—dan bukankah korupsi itu merupakan perompakan ke atas negara dan bangsa sendiri?
Semua yang dicatat oleh Mahathir di dalam proklamasinya tidak mempunyai apa-apa asas, fakta atau kajian yang boleh dipertahankan. Ia hanya cakap kosong untuk menjentik sentimen kaum sebagai usaha terdesak mengumpul kekuatan politik yang kemudiannya boleh digunakan untuk melindungi kepentingannya sendiri.
Semalam, tidak ada seorang pun yang menitiskan air mata di Dewan Merdeka. Kita tidak perlu beremosi sepertimana yang pernah berlaku ketika pelancaran kerjasama Umno-PAS dalam Muafakat Nasional (MN) pada 2019. Air mata bukanlah pengubat duka bangsa dan tidak memberi sebarang erti untuk memacu kegemilangan Malaysia di mata dunia.
Lihat sahaja bagaimana Hadi pernah mengambil kesempatan daripada air mata anggota PAS untuk kemudian berlaku curang sesama parti Melayu-Islam. Perpaduan Melayu melalui penyatuan Umno-PAS juga hanya mitos lapuk era Mahathir.
Umno nyaris diperdaya dan menjadi mangsa kerakusan politik PAS yang menyimpan dendam, selain mahu menjadi parti Melayu terbesar menggantikan Umno. Seraya gagal, kini giliran parti seperti Bersatu pula menunggu masa menadah diri untuk ditikam oleh PAS. Sepanjang pergolakan politik selepas PRU14 tahun 2015, bukan Umno atau Bersatu yang paling beruntung atas retorik “perpaduan Melayu”, tetapi tidak lain adalah PAS.
Politik baru yang hendak diterjemah selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan memang bukan mudah. Landasan politik parti pemerintah perlu dikembalikan ke garis tengah (centrist) dan sederhana. Tidak perlu ada lagi suara-suara nyaring politik perkauman sempit yang tidak menguntungkan kaum atau bangsa mana pun jua.
Secara perlahan-lahan, persefahaman perlu dibentuk di kalangan semua parti dalam kerajaan perpaduan. Dalam masa sama, sedikit cetusan semangat itu tidak boleh setakat bergema di dalam Dewan Merdeka.
Ikatan kerjasama PH-BN perlu ditampilkan di dalam PRN di enam buah negeri, Ogos nanti. Selain mempertahankan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, penting untuk PH-BN bahu membahu untuk kembali memenangi Kedah, Terengganu dan Kelantan. Ia bukan mustahil.
Kemenangan di tiga negeri PAS bakal mematikan sama sekali usaha merampas kerajaan perpaduan di tengah jalan, sekaligus bakal menjadi titik perpaduan seluruh rakyat dan wilayah di negara kita selepas berbalah dan bercerai-berai hampir tiga dekad sejak era Mahathir. Kemanisan sebenar perpaduan akan bermula di sana. Pertemuan sekali lagi di Dewan Merdeka selepas kejayaan itu, pasti lebih ceria dan bermakna.
Terima kasih kepada Umno yang menjadi tuan rumah. Syabas kepada PH-BN yang mula membuka lebaran baru penyatuan bangsa dan perpaduan negara. Seberat apa pun tugas dan tanggungjawab, ia perlu dijunjung di bawah batu jemala kita bersama.
HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik dan penyokong kuat PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.