Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda mohon Mahkamah Persekutuan putuskan isu siasatan SPRM pada hakim SRC

Muda membuat permohonan agar Mahkamah Persekutuan menentukan jika SPRM ada kuasa untuk menyiasat hakim perbicaraan SRC International, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berhubung dakwaan melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Parti itu pada 25 April lau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk merujuk satu isu perlembagaan berkenaan satu saman berkaitan yang difailkannya, ke Mahkamah Persekutuan.

Pada bulan lalu, Muda memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi unuk mendapatkan pengisytiharan bahawa SPRM tiada kuasa untuk menyiasat Nazlan.

Parti itu kemudian membuat permohonan untuk mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dapat mempercepat penyelesaian saman di Mahkamah Tinggi.

Pengurusan kes itu perkara itu ditetapkan pada 12 Julai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman yang difailkan Muda menamakan SPRM dan kerajaan persekutuan sebagai defendan.

Parti itu meminta mahkamah mengisytiharkan SPRM tiada kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat dan membuat dapatan atau pandangan bahawa hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 atau ada konflik kepentingan dalam mendengar suatu kes.

Ia juga meminta pengisytiharan yang dapatan atau pandangan SPRM - bahawa Nazlan melanggar kod tersebut atau ada konflik kepentingan dalam mendengar perbicaraan rasuah SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Razak - adalah tidak mengikut undang-undang atau perlembagaan.

Tindakan undang-undang itu dibuat susulan laporan berkenaan surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said kepada peguam Najib.

Surat itu antara lain menyatakan SPRM menyimpulkan yang Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan ada konflik kepentingan ketika mendengar kes SRC International.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS