Prestasi yang memuaskan membuat kerajaan bersetuju menyambung tempoh perkhidmatan Azam Baki serta Idrus Harun masing-masing di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
Ditanya mengenai alasan pelanjutan khidmat Azam hari ini, Anwar Ibrahim berkata memang sebelum ini ada isu yang dikaitkan dengan pegawai kanan terbabit.
Pun begitu kata perdana menteri kerajaan sekarang berpendapat mereka berkhidmat dengan baik selepas diberi "kelonggaran" untuk menjalankan tugas masing-masing.
“Dia (Azam) dilantik oleh PM Pagoh (Muhyiddin Yassin), dan walaupun ada isu dari segi kerja yang dibangkitkan dulu, saya tengok, dan saya bagi kelonggaran kepada SPRM dan kepada Peguam Negara (Idrus) untuk menjalankan tugas.
“Setakat yang saya lihat, mereka telah menjalankan tugas dengan memuaskan," katanya.
Tambah Anwar Azam pula menjalankan tugas tanpa memilih "puak" atau "parti" di SPRM.
Langkah itu kata Anwar menyaksikan agensi antirasuah tersebut menyerbu dan menggeledah pejabat-pejabat menteri.
Anwar berkata demikian semasa ditemui media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Pada 10 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dilanjutkan setahun lagi selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan
Lanjutan tempoh itu - berkuat kuasa pada 12 Mei - mengundang kritikan banyak pihak termasuk dalam kalangan NGO yang mempersoalkan pendirian kerajaan.
Tahun lalu nama Azam pernah dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa atau rasuah ekoran pendedahan mengenai pemilikan saham syarikat awam pada 2015.
Pada 18 Jan 2022 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyelesaikan siasatan mereka terhadap isu pegangan saham Azam dan tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang.
Ia mendorong PH - yang diketuai Anwar dan masih menjadi pembangkang ketika itu - mendesak agar Azam digantikan dengan orang lain.
Azam didakwa mempunyai konflik kepentingan ekoran pemilikan saham tersebut dengan persoalan timbul bagaimanakah seorang penjawat awam mampu mendapatkan berjuta unit saham.
Bagaimanapun, Azam menafikan sebarang salah laku dalam perkara tersebut.
Selain Azam, Agong turut memperkenan agar Idrus - yang dilantik selepas jatuhnya kerajaan PH melalui Langkah Sheraton pada 2020 - disambung perkhidmatannya untuk enam bulan lagi.
Pelantikan semula Idrus itu berkuat kuasa pada 6 Mac lalu.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu dilantik menggantikan Tommy Thomas pada 6 Mac 2020.