Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan hari ini merupakan peristiwa yang masih janggal dilihat walaupun selepas semua penjajaran politik sejak 2016.

Pemimpin DAP bercakap di atas pentas yang pernah digunakan oleh pemimpin Umno untuk menyerang mereka, dan laungan 'reformasi' bergema di Dewan Medeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Mesej - diulang sepanjang hari - adalah jelas: Saling memaafkan, melupakan permusuhan silam dan menamatkan persaingan politik berdekad-dekad sambil menampilkan keutuhan barisan bersatu kepada rakyat.

Himpunan ini untuk orang ramai dan ahli parti - yang kebanyakannya masih lagi kekok terhadap idea bekerjasama dengan musuh lama mereka menjelang enam pilihan raya negeri akan datang.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail merumuskannya dengan baik, berkata slogan partinya "lawan tetap lawan" kini boleh ditukar kepada "dulu musuh, kini kawan."

Presiden MCA Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang masih cuba mencari keserasian politik mengungkapkan keadaan itu melalui pantun.

Wee, yang terlebih dahulu berucap di pentas, berkata:

"Dulu lawan kini kawan,

Dulu kawan kini lawan,

Tak kisah lawan ataupun kawan,

Yang penting hati rakyat perlu ditawan."

Loke kemudian membalasnya dengan pantun yang hampir sama:

"Dulu lawan kini kawan,

Lawan sampai jadi kawan,

Tak kira kawan atau lawan,

Yang penting Malaysia aman."

Konvensyen hari ini bukan sahaja mengenai soal perdamaian dan saling memaafkan antara parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Majlis itu berakhir dengan semua pimpinan 19 parti politik membaca ikrar lima tekad utama untuk Malaysia yang lebih baik.

Antaranya, mencari jalan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui tawaran lebih banyak peluang dalam pelbagai sektor; serta memastikan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Selain itu, pemimpin Kerajaan Perpaduan juga bertekad untuk meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran dan menghapuskan ketirisan dalam perbelanjaan supaya lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan.

Pada masa sama, mereka berikrar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagai pemangkin pembangunan, sambil mengambil pendekatan keseluruhan untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, konvensyen Kerajaan Perpaduan hari ini dijangka bakal diadakan di peringkat negeri.

Konvensyen ini juga mungkin menjadi majlis tahunan - yang mungkin melangkaui tempoh pentadbiran sekarang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - yang dipuji oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana telah membentuk pentadbiran hari ini - berkata kerajaan Madani sekarang boleh terus mentadbir lepas pilihan raya umum akan datang jika mereka semua terus menyokong pengerusi PH itu.

Pun begitu, semua tekad ini akan diuji jika 'gelombang hijau' Perikatan Nasional dapat menembusi Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang - yang diterajui oleh PH - dalam enam pilihan raya negeri akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS