Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari Ibu: Anwar dendangkan bait lagu P Ramlee
Diterbitkan:  May 14, 2023 8:28 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

“Bagi kita yang masih punyai ibu, jagalah mereka dengan penuh kasih sayang,” demikian seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena memperingati sambutan Hari Ibu, hari ini.

Anwar ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka mengambil kesempatan itu mengajak rakyat supaya sentiasa menghargai pengorbanan serta jasa yang dicurahkan insan bergelar ibu.

“Sumbangan, latihan, pendedahan, menjadi tempat mengadu dan kasih mereka itu sukar diganti. Yang ada isteri yang juga ibu kepada anak-anak, tunjuklah kasih sayang kepada mereka.

"Yang telah meninggalkan kita, pastikan kita sentiasa mendoakan mereka dan semoga Allah memberikan keampunan dan kasih sayang kepada mereka,” kata Perdana Menteri.

Anwar juga sempat menyanyikan bait-bait lagu seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, berjudul “Sungguh Malangnya Nasibku” yang mengisahkan kehidupan insan tanpa sosok bergelar ibu dan ayah.

Beliau turut mengaitkan situasi lagu itu dengan kisah pemergian ibunya ketika beliau menjalani hukuman di penjara.

Anwar berkata: “Lagu P Ramlee berbunyi, ‘...tidak bertempat nak mengadu, alam keliling membisu, kalau ada ayah dan ibu, tak kan begini nasib ku….’” .

“Kalaupun ada sekali saya menangis ialah ketika saya puluhan tahun dalam penjara, ibu saya meninggal dunia dan saya meringkuk di dalam penjara,” katanya.

Sambutan Hari Ibu di Malaysia disambut pada 14 Mei setiap tahun.

Anwar berkata pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada parti yang memperoleh majoriti mudah pada PRU15, malah merupakan usaha untuk menstabilkan semula negara.

"Ini adalah usaha bersama, bukan isu Anwar tapi isu komitmen pimpinan yang mempunyai wawasan dan komitmen untuk membela nasib rakyat.

"Terima kasih kerana sokongan, kerana saya tak mungkin dapat lakukan apa-apa untuk negara kalau tiada semangat perpaduan yang diperlihatkan secara serius oleh 148 Ahli Parlimen," kata Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan.

Beliau juga memuji semua pemimpin politik yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan kerana sanggup melupakan pertarungan lalu serta memaafkan segala kenyataan sebelum ini yang dibuat dalam suhu fobia terhadap parti lain.

"Saya tabik Kerajaan Perpaduan ini kerana tidak ada agama, budaya dan doktrin politik bersatu tanpa matlamat, ada yang bersatu untuk teruskan cara lama, punggah kekayaan dan khazanah negara, tapi kita bersatu untuk meninggalkan kekacauan dan kerosakan lama untuk membentuk Malaysia baharu," katanya.

Pada konvensyen itu, Anwar juga menerima plak Tekad Wanita dan Tekad Pemuda Kerajaan Perpaduan masing-masing daripada Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Nancy Shukri serta Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Dr Muhamad Akmal Saleh.

Selain itu, beliau juga menandatangani Tekad Buat Malaysia yang sebelum itu dibacakan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tekad itu menyenaraikan lima ikrar parti-parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan memastikan peningkatan pendapatan melalui peluang usaha dan pekerjaan diperbanyakkan dalam semua sektor.

Ia juga mahu menjamin rakyat mendapat akses kepada pembelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang tidak membebankan.

Selain itu, tekad tersebut turut berikrar untuk meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan dengan memastikan ketirisan perbelanjaan kerajaan dapat dihapuskan dan manfaat usaha pembangunan benar-benar dapat dirasai oleh rakyat terbanyak.

Tekad itu juga meletakkan azam untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur yang akan meningkatkan kemakmuran negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

Ikrar kelima dalam tekad itu adalah untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat majmuk dengan pendekatan keterangkuman yang menyatukan pelbagai kaum, agama dan wilayah dikembangkan bagi memastikan kestabilan negara dan perpaduan rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS