Selama bertahun-tahun, ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi wilayah seteru bagi DAP yang sebelum ini sering dituduh sebagai musuh Melayu dan Islam.

Tidak pernah terfikir untuk mana-mana pemimpin DAP bahawa mereka akhirnya menjejakkan kaki ke kawasan itu - apatah lagi berucap di atas pentas kepada ahli Umno.

Begitulah perasaan yang dikongsi oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang naik ke pentas untuk berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan hari ini.

"Saya rasa tak ada sesiapa dalam parti saya terfikir untuk berucap di sini. Tak pernah terlintas di hati saya...Sedikit gugup.

"Biasanya tak perlu nota. Sedikit gugup kerana tidak ada pengalaman.

“Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim dah banyak pengalaman. Kembali ke gelanggang lama," katanya.

Loke menyifatkan konvensyen hari ini mencipta sejarah politik negara apabila menghimpunkan parti-parti yang mewakili semua kaum majoriti dan minoriti, kumpulan etnik dan agama, dari semua negeri serta wilayah Sabah dan Sarawak.

"Himpunan hari ini ada makna cukup besar, bukan sahaja mengimbas kembali penubuhan negara tetapi lebih lebih-lagi ini melambangkan masa depan Malaysia, masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia," katanya lagi.

Selain Loke, pemimpin DAP lain yang berucap pada konvensyen hari ini ialah Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Ketua Wanitanya Chong Eng, dan Ketua Pemuda Dapsy Kelvin Yii.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof - yang juga setiausaha agung sekretariat Kerajaan Perpaduan, berkata terdapat lebih 3,500 perwakilan berkumpul di Dewan Merdeka untuk acara utama.

Katanya lagi, lebih 5,000 hadir untuk kedua-dua Konvensyen Perpaduan Wanita 2023 dan Konvensyen Perpaduan Belia 2023.

Konvensyen hari ini mengangkat tema mengetepikan perbezaan masa lalu dan bersatu untuk mencapai tujuan yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS