Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadillah: 'Geng Perpaduan' tekad bangunkan negara lebih kukuh, makmur
Diterbitkan:  May 14, 2023 4:27 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Inisiatif ‘Geng Perpaduan’ atau ‘GP’ bukti komitmen semua parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan ke arah memperkukuhkan perpaduan demi membina negara bangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata inisiatif itu juga adalah usaha meneguhkan lagi perpaduan bukan sahaja dalam kalangan parti dalam kerajaan, tetapi untuk menarik minat golongan muda bersama Pemuda Perpaduan bagi menggerakkan agenda perpaduan di seluruh negara.

“Asas kekuatan sebuah negara adalah perpaduan daripada pelbagai lapisan masyarakatnya dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

“Jika kita bersatu, Insya-Allah semua perkara lain yang kita rencanakan untuk bangunkan negara bangsa yang lebih kukuh, harmoni dan makmur dapat dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Pemuda Perpaduan, di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di ibu negara hari ini.

Terdahulu, Fadillah menghadiri konvensyen itu dan melancarkan GP serta Tekad Pemuda Perpaduan pada majlis berkenaan sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023.

Sementara itu, Fadillah berkata konvensyen hari ini menjadi wadah kepada sayap pemuda dan belia setiap parti di bawah payung Kerajaan Perpaduan untuk mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

Katanya dengan mencari persamaan dan nilai kebersamaan pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan, segala usaha untuk membantu rakyat dapat digarap dengan lebih baik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS