Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim menggesa agar permusuhan sejak sekian lama antara parti dalam kerajaan ditamatkan.
Berucap di depan perwakilan dan pimpinan sayap pemuda parti dalam kerajaan hari ini, timbalan menteri belia dan sukan itu berkata banyak perbezaan antara mereka perlu ditangani dengan baik.
"Ini bukan satu himpunan biasa. Saya berulang kali katakan himpunan ini juga bukan semata-mata untuk kita justifikasikan penubuhan kerajaan ini.
"Ini adalah satu titik di mana kita zahirkan kesepakatan, persetujuan dan persediaan untuk membentuk sebuah negara yang lebih baik," katanya ketika menjadi panel dalam satu forum sempena Konvensyen Kerajaan Perpaduan di WTC, Kuala Lumpur hari ini.
"Ini adalah usaha sama kita untuk bina negara ini bersama-sama.
"Puluhan tahun permusuhan politik kita letakkan titik noktah pada hari ini. Insya-Allah," katanya lagi.
Katanya lagi, parti dalam kerajaan hari ini tidak akan bekerjasama jika tidak memiliki wawasan yang sama untuk Malaysia.
"Apabila kita duduk bersama hari ini, apa yang paling dituntut antara kita adalah toleransi dan ini tak boleh dibuat dengan kepura-puraan, tapi dengan hati yang ikhlas.
"Ramai yang hadir hari ini adalah akar umbi yang buat pertama kali bertemu (sesama anggota parti)," katanya sambil menambah ia berbeza dengan kalangan pemimpin yang lebih mudah berhubung antara satu sama lain.
Justeru, dia menyuarakan harapan agar konvensyen hari ini menjadi permulaan bagi wawasan yang lebih jelas untuk Malaysia dan mengembalikan semula keyakinan golongan muda terhadap politik.
Ratusan anggota dan pemimpin sayap pemuda parti dalam kerajaan berhimpun di Dewan Tun Dr Ismail di WTC hari ini bagi menyertai Konvesyen Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan 2023. Turut diadakan adalah Konvesyen Wanita Kerajaan Perpaduan.
Selain Adam, turut menjadi panel adalah Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi, Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbi Muda dan Ketua Pemuda PBRS Edwin Laimin.
Turut serta adalah Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.