Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang laksana 8 projek bernilai RM1.185 bilion

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melabur sebanyak RM1.185 bilion bagi melaksanakan projek bekalan air yang penting  bagi tempoh lima tahun akan datang. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata projek itu melibatkan lapan komponen utama termasuk tiga yang baharu dan  kesemuanya disenaraikan di bawah Pelan Kontingensi Air PBAPP 2030 atau lebih dikenali sebagai WCP 2030.

"Pada asalnya, PBAPP telah menyenaraikan lima projek atau komponen di bawah WCP 2030 dengan anggaran kos keseluruhan RM842 juta iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor baharu, Pakej 12A di LRA Sungai Dua bagi modul rawatan air tambahan, LRA Empangan Mengkuang, LRA Sungai Kerian Fasa 1 dan skim bekalan air Sungai Perai termasuk prarawatan air mentah.

Lima projek itu sasaran siap antara tahun ini hingga 2028, yang mana ia akan dapat mengoptimumkan dan meningkatkan kapasiti rawatan air PBAPP malah pelaksanaanya juga akan membolehkan Pulau Pinang memanfaatkan tiga sumber air mentah tambahan baharu di tanah besar iaitu Empangan Mengkuang diperbesarkan,  Sungai Kerian di Seberang Perai Selatan dan Sungai Perai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan teknikal bagi melihat perkembangan Pakej 12A di LRA Sungai Dua, di Butterworth yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K Pathmanathan.

Chow berkata pada Mei ini, PBAPP telah menambah tiga projek atau komponen baharu dalam portfolio WCP 2030 dengan kos tambahan yang diunjurkan sebanyak RM343 juta iaitu membabitkan pemasangan saluran paip agihan 1,800mm sepanjang 13 kilometer(km) dari LRA Sungai Dua ke Butterworth menjelang 2024.

Katanya manakala dua projek lagi ialah pemasangan saluran paip agihan air 1,800 mm sepanjang 3.9km dari kawasan Macallum ke Kompleks Kolam Air dan Stesen Pam Bukit Dumbar di bahagian pulau serta  pembinaan LRA baharu di Sungai Muda untuk meningkatkan kapasiti rawatan air PBAPP sebanyak 114 juta liter sehari (MLD).

"Tiga projek itu akan memudahkan dan mempertingkatkan pengepaman lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke bahagian pulau dan walaupun sebahagian besar projek WCP 2030 terletak di Seberang Perai intuk memenuhi permintaan air di tanah besar, kita juga bekalkan lebih banyak air terawat ke bahagian pulau untuk mengurangkan risiko kekurangan air terutama ketika musim kemarau.

"Projek WCP 2030 itu juga dapat menangani unjuran permintaan air maksimum sebanyak 1,500 juta liter sehari di Pulau Pinang menjelang 2030 dan daripada sudut bekalan air ini adalah margin keselamatan yang baik," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Pulau Pinang masih memerlukan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak atau SPRWTS dan kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan pelaksanaannya untuk manfaat 1.74 juta penduduk negeri ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS