Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Selepas Bersih Cekap Amanah, selepas Dasar Pandang ke Timur, selepas Wawasan 2020, kini ‘Proklamasi Melayu’ (Proklamasi) mungkin menjadi naskhah terakhir daripada Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang negawaran, untuk bangsa, agama dan negaranya.

Saya tak fikir dalam usia emasnya ini, akan ada lagi gerakan yang muncul dari buah fikiran Dr Mahathir selepas ini.

Belum ada matlamat yang Dr Mahathir sasarkan itu gagal dicapai. Namun, tentulah dalam setiap usaha untuk mencapai sesuatu matlamat itu, ada saja halangan atau beberapa kegagalan yang perlu dilalui seperti yang terbaru, kegagalan di PRU15 bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

Namun, kegagalan itu adalah proses bagi Dr Mahathir. Atas nama perjuangan seorang negawaran, Dr Mahathir tidak mahu selesa berehat sebaliknya dia tetap bekerja dan terus berusaha hingga munculnya Proklamasi ini.

Kenapa?

Selepas kegagalan pada PRU15, Dr Mahathir merasakan usahanya belum dapat diterima oleh pengundi. Bukan kerana usaha untuk menyatukan Melayu berwibawa itu tidak baik, tetapi kejayaan itu tersekat kerana masalah dan kelemahan perkara yang bersifat ‘kepartian – organisasi’.

Tidak lagi memerlukan parti

Sebagai seorang negarawan yang berpengalaman luas, Dr Mahathir menyedari bahawa dia tidak perlu lagi mengikat dirinya dengan ‘parti’. Baginya parti ini hanya soal ‘legal’, ia perlu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Analoginya mungkin begini; jika parti politik ini adalah sebuah kedai, hari ini ‘kedai’ kurang penting kerana produk boleh dipasarkan secara atas talian (online). Begitulah keadaan berubah mengikut zaman.

Justeru, pengajaran dari PRU15 membuatkan Dr Mahathir berfikir kembali dan merasakan bahawa sesuatu agenda itu harus bergerak bebas supaya ia dapat lebih mudah menyentuh semua orang Melayu tanpa mengira parti apa.

Dari mana ia datang?

Bagi Dr Mahathir, kelemahan negara berpunca dari kelemahan orang Melayu. Orang Melayu di Malaysia adalah kaum majoriti. Dan kaum majoriti ini juga bermakna mereka adalah kaum konsumer dan tenaga kerja yang terbesar dalam ekonomi negara.

Apabila kumpulan konsumer terbesar ini lemah kuasa belinya, lemah produktivitinya serta lemah dalam mengurus assetnya, maka ekonomi negara secara keseluruhan akan turut bermasalah.

Umno tersasar

Namun, kelemahan orang Melayu ini semua bersebab. Bagi Dr Mahathir, Melayu menjadi lemah kerana politik orang Melayu lemah. Lemah disebabkan matlamat perjuangan parti orang Melayu iaitu Umno, telah tersasar.

Umno tersasar dari perjuangannya adalah kerana ahli Umno membiarkan pemimpin seperti Najib Razak menggunakan parti Melayu itu untuk kepentingan kuasanya.

Najib menyedari masalah orang Melayu ini, malangnya beliau memilih jalan mudah iaitu dengan cara ‘Cash is King’. Menerusi penggunaan wang, beliau membeli sokongan orang Melayu, bukan untuk membantu menyelesaikan masalah orang Melayu.

Budaya ‘Cash is King’ ini bukanlah ubat terhadap kelemahan ekonomi Melayu sebaliknya ia menjadi ‘dadah’ yang akhirnya mengubah sikap orang Melayu untuk bertambah leka dan mula bergantung dengan wang pemberian pemimpim politik.

Pergantungan orang Melayu dengan wang pemberian ini sudah kronik hingga dianggap normal pada hari ini. Budaya ‘Cash is King’ ini bukan sahaja menjadi amalan Umno BN, malah parti-parti politik yang lain juga terikut sama. Buktinya boleh dilihat dalam kempen PRU15 lalu. Calon yang tiada wang, dianggap tidak wujud sama sekali.

Ketamakan pada wang menyebabkan integriti pemimpin politik khususnya pemimpin Melayu menjadi lemah dan mudah dibeli oleh kumpulan berkepentingan iaitu kumpulan pemodal besar dan bangsawan.

Kerana wang dan kedudukan (kuasa), pemimpin Melayu menjual amanahnya, masalah orang Melayu terbiar.

Di sinilah bermulanya kerosakan dan kelemahan politik Melayu dan bahananya dirasai oleh kita semua khususnya umat Melayu.

Balik ke asal

Untuk keluar dari perangkap ini, Dr Mahathir berharap orang Melayu kembali kepada kekuatan asalnya iaitu bersatu tanpa mengira siapa atau parti apa, bekerja dengan jujur untuk membangunkan negara, bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.

Dr Mahathir berkata, jika Melayu bersatu tanpa kira parti, British dan Malayan Union pun kalah dan ia telah terbukti.

Seyogia, Proklamasi ini hadir disaat yang diperlukan. Ketika mana pemimpin dan orang Melayu sudah terjerat dan terperangkap dengan politik wang – ‘Cash is King’.

Usaha ini sukar dimengerti oleh mereka yang terikat dengan politik wang dan jawatan.

Ya, usaha ini tidak mudah, dan Tun sebagai negawaran tidak akan sekali-kali memilih jalan mudah untuk mencapai maksudnya.

Sekalipun Dr Mahathir mempunyai harta berbilion ringgit, saya pasti tidak seringgit pun akan digunakan untuk membeli tandatangan untuk Proklamasi. Ini soal maruah bangsa, agama dan negara. Nilai dan harganya bukan pada ringgit.

Ini naskhah Dr Mahathir yang terakhir.


MAHDZIR IBRAHIM merupakan penyokong Proklamasi Orang Melayu.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS