mk-logo
Berita
'Melayu hilang kuasa' sekadar cerita Mahathir saja - Sheikh Umar
Diterbitkan:  May 13, 2023 5:22 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Mantera “Melayu hilang kuasa” yang dibawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak lebih daripada satu pengkisahan untuk mencetuskan polemik, kata Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sheikh Umar (gambar, bawah) berkata, mantera yang dilaungkan Mahathir, melalui kempen tandatangan ‘Proklamasi Orang Melayu’ itu hanyalah untuk mencetuskan polemik politik seperti pernah dilakukannya sebelum ini.

"Saya telah membacanya, namun tiada apa-apa yang saya lihat baharu dalam proklamasi tersebut.

"Mantera 'Melayu hilang kuasa' tidak lebih sekadar satu naratif yang boleh mencetus polemik politik seperti mana ia dimainkan sejak dahulu lagi.

"Kita telahpun menyaksikan polemik yang sama dimainkan hanyalah bertujuan mengukuhkan pangkalan survival politik puak-puak tertentu sahaja.

"Ia tidak berteraskan pembangunan ekonomi serta perpaduan seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isu ini tercetus selepas Mahathir keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA) kerana ingin memberi tumpuan kepada proklamasi itu.

Katanya orang Melayu dari parti politik lain, termasuk DAP, tidak akan selesa menyokong proklamasi itu, jika dia masih menjadi sebahagian daripada parti politik itu.

Sheikh Umar turut menafikan yang dia selesa untuk menyokong proklamasi itu, mendedahkan bahawa dia masih belum menandatangani kempen dalam talian.

"Skrip yang cuba meletakkan kedudukan Melayu seolah-olah sedang diancam oleh kaum yang lain ini tidak akan membantu Melayu.

"Ia juga tidak membantu Malaysia keseluruhannya meskipun acapkali diulang dan diulang.

"Bahkan sejak itu pun, Melayu tidak ke mana. Yang kaya hanyalah segelintir kelompok tertentu dan kroni. Selebih bahagian besarnya dibiarkan terus bergantung nyawa demi kepentingan kuasa tiap kali pilihan raya.

Gambar fail, Kongres Maruah Melayu.

"Jangan kita lupa, baru sekitar empat tahun lalu Mahathir mengepalai Kongres Maruah Melayu.

"Beliau mendakwa ianya tidak politikal, tetapi kerajaan Pakatan Harapan akhirnya tumbang beberapa bulan sejurus selepas itu," katanya.

Oleh itu, ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) itu menegaskan DAP tidak melihat ada keperluan untuk pengisytiharan sedemikian, sambil menambah bahawa undang-undang tertinggi negera Perlembagaan Persekutuan jelas menjamin semua hak istimewa orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

"Untuk rekod, DAP telah berkali-kali menzahirkan komitmennya terhadap perkara ini. Ia turut dimaktubkan menerusi satu dokumen penting DAP iaitu Deklarasi Shah Alam 2012," tambahnya lagi.

Jika Mahathir ikhlas membela masyarakat Melayu, Sheikh Umar berkata ahli politik veteran itu perlu memperkukuh agenda Melayu melalui kerangka “Malaysia Madani” yang dibawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Elakkan persaingan. Bantulah Malaysia Madani untuk mengangkat martabat rakyat.

"Bukan sekadar Melayu yang menjadi tunjangnya, tetapi kaum-kaum lain yang turut menyumbang mengangkat nama Malaysia.

"Ini waktunya kita melihat Malaysia pulih dan kembali kuat di mata dunia," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS