mk-logo
Berita
'IKS Kelantan boleh gulung tikar jika masalah air tak selesai'
Diterbitkan:  May 13, 2023 4:10 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kelantan boleh gulung tikar sekiranya masalah air di negeri itu tidak diselesaikan segera.

Pengerusi Koperasi Usahawan IKS Muslim Kelantan, Kamarudin Yunus berkata sehubungan itu pihaknya menyambut baik pendirian Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Beliau berkata sumber air bersih sangat diperlukan dalam kebanyakan penghasilan produk IKS.

"Kebanyakan usahawan IKS terpaksa mengambil pendekatan membuat sistem boring bagi mendapatkan air yang mencukupi untuk penghasilan produk.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada air kerajaan (AKSB) kerana kerap kali pengeluaran terpaksa dihentikan berikutan masalah bekalan air yang tidak konsisten," katanya kepada Bernama, di Kota Bharu hari ini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan satu kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan perlu diadakan bagi menyelesaikan isu bekalan air bersih di negeri itu.

"Kita amat berharap dengan campur tangan kerajaan Persekutuan ini, masalah mendapatkan bekalan air bersih dapat segera ditangani sekali gus mengakhiri kesulitan yang sekian lama ditanggung rakyat negeri ini," katanya.

Katanya kebanyakan 150 syarikat Muslim yang berdaftar di bawah koperasi itu mengadu berdepan masalah mendapatkan bekalan air bersih dan terdapat beberapa kilang terpaksa 'gulung tikar'.

Kamarudin berkata sumber air bersih adalah asas utama bagi sesebuah kilang untuk beroperasi terutama produk minuman dan makanan dan produk-produk berasaskan air yang lain.

Dalam pada itu katanya masalah bekalan air bersih juga boleh menjejaskan minat pelabur untuk melabur di negeri ini sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi tempatan sedangkan banyak industri yang berpotensi besar boleh dibangunkan di Kelantan.

Perdana Menteri berkata beliau telah mengadakan perbincangan ringkas dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berhubung perkara itu.

Beliau juga telah mempersembahkan ‘hasrat’ itu pada sesi menghadap Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Kelantan di Kubang Kerian, petang semalam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS