mk-logo
Berita
Larang beg plastik, polisterina di Perak: Tetapkan dasar memang mudah - Exco
Diterbitkan:  May 13, 2023 1:00 PM
Dikemaskini: 5:00 AM

Kerajaan Perak sedang meneliti dan menyemak semula polisi larangan penggunaan beg plastik dan polistirena di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching.

Beliau berkata perkara itu sebelum ini turut dibangkitkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, namun kerajaan negeri masih belum mempunyai dasar bagi pelaksanaannya.

Menurut Ng bagi merealisasikan perkara itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim agar satu dasar dapat dirangka selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan yang menyasarkan sifar penggunaan beg plastik menjelang 2025.

"Kita nak tetapkan dasar memang mudah, namun paling penting pelaksanaannya untuk kita pastikan agensi kerajaan dan orang awam dapat menerima selain bersedia dengan pelaksanaan tersebut," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Eco Green Market anjuran Majlis Daerah Batu Gajah di Pasar Awam Batu Gajah, Perak hari ini.

Ng berkata kajian yang dilaksanakan itu juga meliputi kaedah pelaksanaan dilakukan di negara-negara yang menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena supaya dapat mewujudkan ruang alternatif lain untuk rakyat khususnya mereka dalam sektor perniagaan melibatkan peniaga.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan hasrat kerajaan negeri sama ada untuk meneruskan semula pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena yang telah tertangguh pada 2017.

Media melaporkan Perak sebelum ini pernah mengumumkan larangan penggunaan dua bahan itu mulai Jun 2017, namun ia ditangguhkan bagi membolehkan kajian menyeluruh dijalankan terhadap pelaksanaannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS