Lawatan sehari Anwar Ibrahim ke Kelantan semalam menimbulkan tanda tanya tersendiri di kalangan pemerhati politik susulan pertemuannya bersama dua anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ia selepas tersebar beberapa keping gambar pertemuan antara perdana menteri ditemani isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan Nik Omar Nik Abdul Aziz dan adiknya yang juga bekas ahli parlimen PAS Nik Muhammad Abduh.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang memuat naik gambar di Facebook, malam tadi.
Umum mengetahui Nik Abduh dan Nik Omar saling berseteru dalam berpolitik apabila memilih jalan dan haluan melalui parti yang saling bertentangan.
Sejak itu, hubungan dua anak lelaki bekas mursyidul am PAS itu dilihat kurang baik.
Nik Omar membuat kemunculan di pentas politik dengan kejutan tersendiri apabila memilih untuk bersama Pakatan Harapan (PH) dan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Chempaka pada PRU14.
Sementara itu, Nik Abduh meneruskan legasi allahyarham Nik Aziz untuk terus bersama PAS.
Namun, langkah politik bekas ahli parlimen Bachok itu terhenti apabila dia tidak dicalonkan pada PRU15 lalu.
Wan Ji ketika memuat naik gambar pertemuan itu, berkata: “Insya-Allah, legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz sentiasa di hati perdana menteri Malaysia.”
Dalam hantaran lain pula, Wan Ji memberi gambaran ada pihak berusaha untuk mematikan legasi Nik Abdul Aziz.
“Walaupun ada pihak berusaha mahu matikan legasi Tok Guru Nik Abdul Aziz, pasti akan ada pihak berusaha angkat legasi tersebut,” katanya.
Wan Ji (gambar, bawah) turut berkata budaya bermusuhan antara adik-beradik kerana berbeza parti politik perlu dibuang daripada kamus kehidupan rakyat Malaysia.
Menurut Wan Ji, sekiranya seseorang itu menekuni konsep Madani yang diangkat ilmuan Islam Ibnu al-Farabi, antara gagasan besar kepelbagaian adalah cara untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan.
“Kepelbagaian adalah mencari kebijaksanaan, kepelbagaian adalah jalan untuk wujudkan kosmopolitan.
“Budaya berparti politik atas label agama di Malaysia, kepelbagaian diajar sebagai permusuhan sehinggakan, adik-beradik pun dipaksa bermusuhan hanya kerana berbeza parti politik.
“Kita angkat Madani untuk wujudkan keluarga besar rakyat Malaysia. Dalam kita berbeza, bukan punca kita bergaduh. Perbezaan adalah peluang mencari kebijaksanaan,” katanya pada siri hantaran seterusnya di media sosial.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Wan Ji untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pertemuan yang kini tular di media sosial.