Anwar Ibrahim malam ini menyatakan hasrat kerajaan untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah bekalan air bersih yang dihadapi negeri Kelantan sejak berpuluh tahun lalu.
Bagaimanapun kata perdana menteri usaha tersebut memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri.
Perkara berkenaan, tambah Anwar, sudah dipersembahkan kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dalam pertemuannya dengan pihak istana sebelum ini.
“Kelantan ini menghadapi masalah bekalan air bersih agak serius, jadi saya nak mengemukakan cadangan supaya kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
“Kita adakan pertemuan dan kerjasama dengan projek bekalan air yang lengkap dan tepat untuk negeri Kelantan keseluruhannya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, malam ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan anggota kabinet.
Sebagai rekod, umum mengetahui masalah perbekalan air terawat begitu sinonim di Kelantan dan sudah berlarutan sejak sekian lama seolah-olah tidak berpenghujung.
Masalah kualiti air sentiasa menjadi buah mulut rakyat Kelantan sehingga 'air karat' menjadi modal untuk mengkritik kerajaan negeri atau pun parti yang mewakili Kelantan iaitu PAS.
Biasanya semasa memberikan penjelasan kerajaan negeri menjelaskan paip yang digunakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) selaku operator induk untuk menyalurkan air ke premis-premis pengguna merupakan paip lama.
Masalah tak sudah
Usia paip yang dikatakan sekitar 40 tahun itu menyebabkan berlaku kerosakan menyebabkan wujudnya air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) selain kualiti air yang tidak memuaskan.
Pada penghujung 2021, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membina sebuah takungan besar yang dijangka dapat menyelesaikan isu perbekalan sumber keperluan asas rakyat itu.
Timbalan Presiden PAS yang ketika itu menjadi menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man juga memperkatakan mengenai projek takungan air pinggiran sungai (Taps) yang menelan belanja RM1.3 bilion.
Namun sehingga hari ini, masalah air di Kelantan masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Anwar menegaskan adalah tidak wajar selepas lebih 60 tahun merdeka masalah air bersih di Kelantan tetap berterusan malah dijadikan modal politik.
“Saya tidak fikir wajar dalam tempoh lebih 60 tahun merdeka kita bergelut dan jadikan ini sebagai masalah politik yang tidak berkesudahan dan bebankan rakyat.
“Oleh yang demikian saya ingin menyeru bahawa ini adalah pendirian kerajaan perpaduan. Kita akan cuba cari dana, cuba cari penyelesaian, tetapi mestilah dengan kaedah yang betul,” katanya.