Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan OPR mengejutkan, jejas keyakinan perniagaan - Guan Eng
Diterbitkan:  May 12, 2023 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng melahirkan rasa bimbang dan kecewa terhadap kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus baru-baru ini.

Lim dalam kenyataan hari ini turut mempersoalkan rasional di sebalik kenaikan mengejut oleh Bank Negara itu dan menganggap ia tidak membantu meningkatkan keyakinan perniagaan

“Salah satu alasan utama yang diberikan oleh pihak yang mempertahankan Bank Negara atas kenaikan mengejut OPR sebanyak 25 mata asas meleset apabila nilai ringgit menyusut berbanding dolar AS.

"Kenaikan OPR sebanyak 0.25 peratus sepatutnya membantu meningkatkan kekuatan ringgit berbanding dolar AS," katanya.

Lim yang juga ahli parlimen Bagan menegaskan dalam tempoh kurang daripada 10 hari, ringgit menyusut daripada RM4.45 bagi AS$1 pada hari OPR dinaikkan iaitu 3 Mei kepada RM4.47 hari ini.

“Jelas sekali nilai ringgit tidak ditentukan oleh asas ekonomi yang kukuh, prestasi ekonomi yang kukuh, kadar pertumbuhan atau OPR yang ditetapkan oleh Bank Negara tetapi lebih kepada fungsi jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

"Ini jelas ditunjukkan semasa dua jeda kadar faedah oleh Bank Negara tahun ini yang tidak menjejaskan nilai ringgit sebaliknya meningkat kepada RM4.24 berbanding dolar AS pada 28 Jan 2023,” katanya.

Lim berkata ia menunjukkan ringgit masih boleh mengukuh ke paras Jan setelah kenaikan kadar faedah oleh rizab persekutuan AS terhenti, sekali gus membolehkan prestasi asas-asas utama ekonomi Malaysia dimainkan.

Lim Guan Eng

Tambah Lim, idea untuk menaikkan OPR bagi membendung inflasi juga adalah cacat.

“Rasional lain yang boleh diterima untuk kenaikan OPR adalah untuk membendung inflasi.

"Bagaimanapun, inflasi jatuh daripada 3.7 peratus pada Feb 2023 kepada 3.4 peratus pada Mac 2023, menafikan keperluan untuk menaikkan OPR apabila inflasi sedang dikekang. Kadar inflasi 3.4 peratus untuk Mac adalah paras terendah dalam 34 bulan, menjadikan kenaikan OPR begitu tidak dijangka,” kata Lim.

Menurutnya berdasarkan tinjauan Bloomberg, seramai 16 orang menjangka OPR negara tidak berubah berbanding hanya tiga pakar ekonomi meramalkan sebaliknya.

Jejas pertumbuhan ekonomi

"Tinjauan terhadap 25 ahli ekonomi oleh Reuters mendapati bahawa 21 orang menjangka OPR akan dikekalkan dengan hanya empat orang meramalkan kenaikan OPR," tambahnya.

Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini dilaporkan berkata langkah institusi itu menaikkan OPR tidak menyebabkan peningkatan individu muflis.

Tegasnya lagi, tiada data yang menyokong dakwaan yang mengaitkan OPR dengan peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang akan muflis.

Kata Nor Shamsiah, secara agregat isi rumah terus memegang aset kewangan melebihi hutang yang membolehkan mereka menguruskan kos pinjaman yang lebih tinggi.

Lim bagaimanapun berpendapat bahawa kenaikan itu masih "kejutan buruk".

“Kejutan kenaikan OPR ini akan paling dirasai oleh peminjam bank, terutamanya individu yang mempunyai kenderaan, rumah, dan kad kredit serta perusahaan kecil dan sederhana yang menanggung beban kewangan yang lebih berat.

“Selain daripada peminjam, ekonomi juga mungkin mengalami kadar faedah yang lebih tinggi yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi yang sudah terjejas oleh ketidaktentuan global akibat kemelesetan global yang diterajui AS.

“Menurut Penyelidik Pasaran Global S&P, Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Malaysia (PMI) pelarasan musim kekal di bawah paras 50 mata yang memisahkan pengembangan dan penguncupan bulanan, dengan indeks itu tidak berubah pada 48.8 pada April 2023,” kata Lim.

Lim berkata ia adalah isyarat bahawa sektor pembuatan Malaysia semakin lemah pada awal suku kedua tahun ini di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Kenaikan mengejut dalam OPR oleh Bank Negara pastinya tidak membantu meningkatkan keyakinan perniagaan,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS